Penganalisis politik, Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri hari ini berpendapat bahawa tindakan pasangan Alvivi yang telah mempersendakan bulan Ramadan tidak akan menjejaskan hubungan kaum.

Sebaliknya, menurut beliau tindakan tidak prihatin pasangan tersebut telah pun ‘ditebus’ oleh keperihatinan pemimpin Cina yang marah dengan perbuatan mereka.

“Namun kelompok Melayu-Muslim tertentu akan terus memprotes (tindakan Alvin dan Vivian),” kata Prof Shamsul yang merupakan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), UKM ketika dihubungi Astro Awani.

Tambahnya, orang Melayu pada ketika ini terlalu sibuk membeli-belah di bazar Ramadan untuk ‘ambil peduli’ tentang telatah pasangan tersebut.

Walaupun tindakan pasangan itu dikatakan tidak menjejaskan hubungan kaum, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India, Perinnbam pula mempunyai pandangan berlainan.

Presidennya dalam satu kenyataan menyifatkan tindakan pasangan Alvivi yang telah mempersendakan bulan Ramadan sebagai tindakan yang boleh ’menyalurkan ketidaksefahaman kaum Melayu dan Cina’ di Malaysia.

Di laman-laman media sosial pula, pandangan orang ramai tentang isu ini terbahagi kepada dua – ada yang marah dengan perbuatan tersebut, dan ada juga yang melihatnya sebagai sekadar ‘gurauan’.

Bagi ahli-ahli politik pula, kedua-dua pihak Barisan Nasional (BN) dan pembangkang dilihat sepakat mahukan kerajaan mengenakan tindakan paling tegas terhadap pasangan tersebut.

Di Parlimen hari ini, Pas telah meminta pihak berkuasa supaya mengambil tindakan ke atas umat Islam yang telah menyinggung perasaan orang bukan Islam dengan sentimen keagamaan atau perkauman.

Dua anggota parlimennya telah mendakwa bahawa pihak berkuasa begitu cepat untuk bertindak apabila laporan itu dibuat oleh orang Islam, tetapi bersikap sambil lewa apabila laporan itu dibuat oleh orang bukan Islam.

Pasangan kontroversi, Alvin Tan, 25 dan Vivian Lee, 24 telah menimbulkan pelbagai reaksi berikutan tindakan mereka di laman sosial baru-baru ini.

Pasangan itu telah didakwa mempersendakan bulan Ramadan dengan memuat-naik gambar hidangan bak kut teh dengan kapsyen Selamat Berbuka Puasa.