TUARAN: Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana ketua jabatan yang didapati menghalang usaha kerajaan membawa masuk pelabur ke negeri ini, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata terdapat keadaan ketua jabatan didapati mengenakan peraturan mereka sendiri ke atas pelabur yang berminat melabur di negeri ini, dan dengan berbuat demikian mereka telah menghantar isyarat salah kepada pelabur berkenaan, yang kemudiannya menarik balik keinginan untuk melabur di negeri ini.

"Saya perhati keadaan ini dan jika berlaku, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas," katanya ketika berucap pada majlis angkat sumpah dan penyampaian watikah pelantikan kepada 19 Ahli Majlis Daerah Tuaran bagi penggal 2023/2025 di sini hari ini.

Menurutnya peranan ketua jabatan adalah untuk memudahkan pelaburan dan jika semuanya sudah berjalan lancar, tidak perlulah menyukarkan mereka kerana kerajaan negeri hari ini adalah mesra pelabur.

"Kita mahu mewujudkan lebih banyak pekerjaan kepada rakyat, sebab itu kita bawa masuk banyak pelabur ke Sabah. Sejak dua tahun lepas, pelaburan yang diterima Sabah berjumlah lebih RM30 bilion," katanya.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita Hajiji berkata setiap ahli majlis daerah perlu memainkan peranan bagi memastikan pembangunan di setiap kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam keadaan sistemik dan memberi impak kepada rakyat.

Beliau berkata tugas dan tanggungjawab mereka besar bagi memastikan penyusunan, pembangunan serta pemberian perkhidmatan PBT kepada rakyat di kawasan berkenaan tersusun.

Hajiji turut mengingatkan kepada pegawai kerajaan agar memudahkan urusan yang berkaitan dengan pembangunan, perniagaan dan perkara yang memerlukan kelulusan daripada pihak kerajaan.

"Kalau mereka melepasi semua syarat yang diperlukan, permudahkan supaya mereka boleh menjalankan perniagaan dengan baik dan ini akan membuka peluang (pekerjaan) kepada rakyat," katanya.

-- BERNAMA