MALAYSIA
Tindakan kenteraan unilateral boleh heret Asia Barat ke arah konflik besar - Hamzah

Hamzah mendakwa, serangan itu dilihat sebagai agenda berterusan geopolitik Amerika Syarikat yang memihak secara membuta-tuli kepada Israel. - Bernama
SEPANG: Tindakan ketenteraan unilateral oleh mana-mana kuasa besar dunia, termasuk Amerika Syarikat, bukan sahaja menyalahi prinsip undang-undang antarabangsa, malah mengheret rantau Asia Barat ke arah konflik berskala besar, tegas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, beliau berkata, tindakan tersebut boleh mengancam keselamatan jutaan nyawa, termasuk rakyat awam yang tidak berdosa.
Selain itu beliau mendakwa, serangan itu dilihat sebagai agenda berterusan geopolitik Amerika Syarikat yang memihak secara membuta-tuli kepada Israel, walaupun dunia antarabangsa menyaksikan pencabulan hak
asasi kemanusiaan yang berterusan oleh negara itu di bumi Palestin.
“Perikatan Nasional mengutuk dengan sekeras-kerasnya serangan Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran. Dalam keadaan sekarang, Iran mempunyai sepenuhnya hak untuk bertindak balas dan mempertahankan diri daripada keganasan mana-mana negara.
“Perikatan Nasional menuntut kerajaan Malaysia agar lebih tegas dan lantang menyatakan pendirian dengan mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersidang bagi menghentikan tindakan Israel dan Amerika Syarikat, di samping menegakkan undang-undang antarabangsa,” katanya lagi.
Hamzah turut menggesa Malaysia untuk segera bekerjasama dengan 'like-minded countries' (negara-negara yang mempunyai pendirian sama) dalam menangani krisis itu secara adil dan saksama.
Malaysia sebelum ini menyelar tindakan Amerika Syarikat (AS) menyerang Iran, dan menganggap ia pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa yang tidak boleh diterima.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. berkata, Malaysia akan kekal konsisten dengan pendirian untuk menolak keganasan semua pihak, dan menggesa semua kuasa besar bersikap adil dalam menilai punca konflik serta tidak memilih dalam memperjuangkan hak asasi manusia.
“Tapi bagi saya, yang penting sekali nyawa manusia dan keadilan. Kita kalau katakan tidak memilih, sekurang kurangnya ambil keputusan hentikan keganasan ini.
"Maknanya... (kononnya) jangan izinkan Iran bertindak balas, tapi mengapa izinkan Israel bertindak begitu rupa?" katanya.
Malaysia jelasnya, perlu menyuarakan pendirian agar negara merdeka dan berdaulat tidak hilang keupayaan untuk bercakap tentang hak asasi dan keadilan.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami