MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka memandang serius dan akan mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap kapal-kapal yang berlabuh di dalam zon perikanan di negeri ini, kata Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Beliau berkata pihaknya tidak mahu lagi kapal-kapal yang masuk dan berlabuh di Selat Melaka, melanggar peraturan yang sebenarnya sudah lama diwartakan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Kita pandang serius kerana ia memberi kesusahan kepada para nelayan khususnya nelayan pukat hanyut. Jadi dalam tempoh dua minggu ini, kita akan minta Jabatan Laut negeri panggil nelayan untuk diberi taklimat mengenai zon ini dan dalam masa yang sama melakukan pemantauan dengan lebih kerap.

"Para nelayan juga diminta agar segera melaporkan kepada Jabatan Laut sekiranya mendapat maklumat ada kapal yang berlabuh di dalam zon perikanan," katanya kepada pemberita selepas hadir ke majlis Santai Raya bersama Nelayan Tanjung Kling di Balai Nelayan Tanjung Kling di sini hari ini.

Muhamad Akmal berkata perkara yang sama juga akan diberi perhatian di kawasan taman laut terutama di Pulau Undan yang masih terdapat nelayan yang terkeliru dengan zon dibenarkan menangkap ikan.

"Kita ambil maklum perkara ini memandangkan Pulau Undan baru sahaja diwartakan sebagai taman laut hujung tahun lepas dan sudah tentu ada kekeliruan meskipun sudah diadakan taklimat. Jadi kita akan adakan pertemuan dengan nelayan dan jelaskan perkara ini kerana tidak mahu nelayan menceroboh masuk taman laut ini dan ganggu batu karang yang wujud di sekitar pulau tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Akmal berkata pihaknya akan membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada nelayan di negeri ini untuk menjana ekonomi terutama selepas hasil tangkapan mereka berkurangan akibat projek tambakan laut.

Katanya, menerusi dialog yang diadakan dengan nelayan di Melaka, pihaknya menerima beberapa cadangan termasuklah mengadakan projek ternakan kupang, menambah baik fasiliti dan infrastruktur yang terdapat di balai nelayan dan mewujudkan jeti ikan bakar.

"Macam cadangan jeti ikan bakar di sekitar Pantai Puteri dan Pantai Kundor ini, ia tidak mustahil diwujudkan kerana kita ada tempat yang cantik iaitu di tepi laut dan dari segi lokasi pun menarik untuk pelancong datang, namun perlu ditambah baik dari aspek fasiliti.

"Mungkin tidak akan sempat disiapkan menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 memandangkan banyak perkara perlu diberi perhatian seperti isu peruntukan, namun sekurang-kurangnya ia boleh bermula di sini," katanya.

-- BERNAMA