GEORGE TOWN: Tindakan pantas dua beradik yang berlari keluar selepas menyedari kebakaran di bilik didiami telah menyelamatkan nyawa mereka dalam kebakaran di Flat Central Garden, Jelutong di sini hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak A'azelan Hassan berkata dua beradik iaitu seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dan kakaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam berumur 22 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian 10.40 pagi.

"Sebaik menerima panggilan kecemasan, pihak bomba terus ke lokasi kejadian dan mendapati sebuah bilik dalam rumah flat yang didiami dua beradik itu terbakar namun mereka sempat menyelamatkan diri sebaik menyedari berlaku kebakaran.

"Kedua-dua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan namun dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pihaknya bomba dapat mengawal kebakaran daripada merebak dalam rumah itu pada 11.09 pagi dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira lima minit kemudian.

Beliau berkaya kebakaran itu melibatkan sebuah bilik dengan anggaran peratusan kemusnahan adalah 30 peratus dan punca kejadian masih dalam siasatan.

-- BERNAMA