KUALA LUMPUR: Tindakan tegas berlandaskan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat akan dikenakan terhadap mana-mana Ahli Parlimen yang mengeluarkan perkataan berbaur perkauman, menghina dan tidak berparlimen (unparliamentary) semasa persidangan Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, perkara itu telah dipersetujui dalam perjumpaan bersama ketua whip kerajaan, ketua pembangkang, pengerusi backbenchers dan ketua whip Perikatan Nasional mengenai beberapa pembaharuan di Parlimen.

"Saya berharap semua Ahli Yang Berhormat dapat memberi komitmen ini demi menjamin perjalanan Dewan yang berkualiti dan beradab sopan serta menghayati prinsip kelima Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan.

"Saya dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat akan mengambil tindakan tegas berlandaskan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyurat Dewan Rakyat sekiranya perkataan yang dimaksudkan masih disebut selepas ini oleh Ahli Yang berhormat dalam Dewan yang mulia ini," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi pemakluman petua selepas tamat sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Johari memaklumkan persetujuan turut dicapai bagi membenarkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk mempengerusikan secara sementara mesyuarat Kamar Khas di bawah Peraturan 16 (5) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Selain itu, turut dipersetujui ialah jumlah usul yang boleh dibawa ke bagi urusan sesi Kamar Khas iaitu maksimum empat usul daripada dua Ahli Parlimen, selain membenarkan sesi penerangan oleh menteri-menteri dibuat di situ, sekiranya tidak sempat dibuat dalam sidang Dewan Rakyat. - BERNAMA