SHAH ALAM: Pihak berkuasa agama di Selangor tidak akan berkompromi sebaliknya bertindak tegas terhadap pengasas dan pihak yang terlibat dalam ajaran sesat di negeri itu.

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam satu kenyataan memaklumkan, sekiranya seseorang itu didakwa, mereka boleh dikenakan hukuman denda yang tinggi dan dipenjarakan.

"Sebagai contoh kes Ketua Pendakwa Syarie lawan Abdul Kahar Ahmad. Defendan telah didakwa atas beberapa kesalahan, antaranya Seksyen 7 (1) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 [Enakmen Selangor No. 9 Tahun 1995] iaitu kesalahan berkaitan doktrin palsu.

"Selain itu, empat lagi pertuduhan dan kesalahan lain turut dipertuduhkan terhadap defendan sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun, denda sebanyak RM16, 500 dan enam kali sebatan," menurut kenyataan itu pada Isnin.

Disember lalu, media melaporkan kumpulan ajaran sesat Millah Abraham yang dikesan kewujudannya beberapa tahun lepas dipercayai kembali aktif, susulan beberapa pengikut termasuk seorang selebriti lelaki mendedahkan pernah terjebak dengan kumpulan berkenaan.

Media juga melaporkan MAIS bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sentiasa memantau ketat 14 ajaran sesat yang dikenal pasti masih aktif di negeri ini.

Dalam pada itu, MAIS dalam kenyataan turut memaklumkan sejak Ogos 1991 hingga 2016, hampir 42 fatwa telah dikeluarkan di negeri Selangor mengenai ajaran sesat.

Menurut kenyataan, fatwa yang dikeluarkan adalah melibatkan ciri-ciri dan penerbitan berkaitan ajaran tersebut yang didapati telah menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

"Antara ajaran sesat difatwakan adalah Ajaran Millah Abraham@ Ibrahim, Ajaran Syiah, Kumpulan Negara Islam Indonesia (NII), Tarikat Al Hasanah, Ajaran Zamree Bin Abdul Wahab dan Fahaman Wahdatul Wujud," kata MAIS.

Bagi mengekang ajaran sesat ini, MAIS bersama JAIS sentiasa melaksanakan pelbagai program dan aktiviti dakwah.

"Ini termasuk mengadakan taklimat ke masjid dan surau dalam memberi kesedaran berkaitan ajaran sesat termasuk melalui media sosial dan media arus perdana bahkan melalui penulisan pelbagai artikel," kata MAIS.

Menurut kenyataan, walaupun berbagai usaha dilakukan pihak berkuasa seperti membuat penyelidikan terhadap ajaran sesat sebelum ia difatwakan, disusuli dengan program kesedaran kepada masyarakat sehinggalah mengheret yang terlibat ke muka pengadilan, didapati masih muncul beberapa ajaran sesat dan salah, malah masyarakat masih terpengaruh dengan ajaran itu.

"Malah mereka semakin berani menyebarkannya melalui media sosial seperti Instragam, You Tube, Tik Tok dan seumpamanya.

"Ada juga didapati kumpulan ajaran sesat ini bergerak secara senyap dan beselindung melalui aktiviti sosial, ekonomi dan seumpamanya sebelum menerapkan ciri-ciri ajaran sesat mereka," katanya.

Menurut MAIS, walaupun pihak berkuasa mempunyai mekanisma tertentu untuk membanteras ajaran sesat yang wujud, masyarakat yang mempunyai maklumat dan aktiviti mereka perlu menyalurkan maklumat dan bersedia menjadi saksi sekiranya mereka dibawa kemuka pengadilan agar ajaran sesat dapat dibenteras dan dihapuskan sehingga ke akar umbi.

Berdasarkan peruntukan di dalam Enakmen Selangor No. 9 Tahun 1995 terdapat beberapa peruntukan boleh menyebabkan seseorang yang terlibat dengan ajaran sesat, secara langsung boleh didakwa dan dibawa ke Mahkamah Syariah.

"Begitu juga dengan mereka yang bersubahat, menyebarkan dan mengamalkan ajaran sesat tersebut serta menyimpan, menerbitkan dan mengedarkan apa-apa dokumen berkaitan ajaran sesat berkenaan.

"Malah sekiranya seseorang itu dibawa kemuka pengadilan antara pendakwaan yang boleh dituduh dijatuhkan hukuman sekiranya sabit kesalahan ialah didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman" kata MAIS.

Dalam pada itu, MAIS turut menggesa masyarakat agar mempertingkatkan kefahaman dan ilmu pengetahuan tentang ajaran Islam sebenar dan tidak memandang ringan dengan situasi perkembangan ajaran sesat pada masa ini.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian