JOHOR BAHRU: Tindakan meninjau Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri secara kerap bukanlah untuk mencari kesalahan pihak atau individu tertentu.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata sebaliknya beliau mahu membantu menangani isu yang kerap berlaku di kawasan berkenaan sekali gus memastikan rakyat dapat menikmati manfaat perkhidmatan di kedua-dua pintu keluar masuk laluan darat di negeri ini dengan lebih selamat dan selesa.

"Masalah di CIQ bukanlah sesuatu yang berlaku dalam satu atau dua tahun lepas, tetapi telah menjadi warisan. Kami mahu menangani isu itu. Ramai orang bangun seawal pukul 3 pagi semata-mata untuk mencari sesuap nasi untuk keluarga mereka.

Saya mengambil peluang turun ke padang dan melihat sendiri keadaan dan saya telah bekerjasama rapat dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mencari penyelesaian," katanya ketika berucap merasmikan Pusat Warisan India di kuil Arulmigu Rajamariamman Devasthanam di sini malam ini.

Sebelum ini, Onn Hafiz dilaporkan telah melakukan pemeriksaan mengejut secara berkala di kaunter Imigresen di BSI dan KSAB sejak beberapa minggu lepas.

Terdahulu pada majlis perasmian Pusat Warisan India di kuil berkenaan Menteri Besar turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada kuil yang berusia 112 tahun itu.

-- BERNAMA