MALAYSIA
Tinjauan kaji selidik pendapat umum mengenai prestasi pentadbiran, sosioekonomi dan politik Malaysia

Hanya 40% responden percaya Malaysia berada di landasan yang betul, menurun daripada 54% pada Disember 2024. - Gambar hiasan
INSTITUT Masa Depan Malaysia telah menjalankan satu kajian tinjauan pendapat umum berkaitan isu-isu semasa yang merangkumi dimensi ekonomi, sosial dan politik di Malaysia dari 14 Jun hingga 19 Julai 2025.
Ringkasan AI
- Hanya 40% responden percaya Malaysia berada di landasan yang betul, menurun daripada 54% pada Disember 2024; kebimbangan terhadap kos sara hidup meningkat kepada 53%, menjadikannya isu paling membimbangkan rakyat.
- Tahap kepuasan terhadap prestasi ekonomi, pendapatan peribadi dan Kerajaan Madani menunjukkan penurunan ketara; hanya 33% responden berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding 57% sebelumnya.
- Cadangan rasionalisasi subsidi RON95 tidak mendapat sokongan majoriti, dengan hanya 34% menyokong; responden lebih memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri dalam PRU-16 berbanding Anwar Ibrahim, Zahid Hamidi dan Hamzah Zainudin.
Kajian ini turut mendapati, kos sara hidup merupakan isu yang paling membimbangkan rakyat.
Tahap kebimbangan rakyat terhadap isu ini telah meningkat kepada 53% berbanding 48% pada bulan Disember 2024.
Sentimen responden terhadap prestasi ekonomi negara juga negatif dengan hanya 37% menyatakan mereka berpuas hati dengan pencapaian ekonomi negara berbanding 57% pada bulan Disember 2024.
Dari segi pendapatan peribadi, hanya 34% responden menyatakan pendapatan mereka adalah baik berbanding 52% pada bulan Disember 2024.
Mengenai cadangan rasionalisasi subsidi RON95, hanya 34% menyokong pelaksanaannya manakala 51% tidak bersetuju.
Antara sebab utama cadangan ini tidak mendapat sokongan responden ialah ia akan menjejaskan taraf kehidupan (32%), tidak yakin dengan keupayaan atau mekanisme pelaksanaan kerajaan (11%), kurang penjelasan dari pihak kerajaan (7%) dan kerajaan terburu-buru untuk melaksanakannya (4%).
Dari segi prestasi kerajaan, hanya 41% responden berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Madani, berbanding 56% pada bulan Disember 2024.
Kajian ini juga mendapati tahap kepuasan hati responden terhadap prestasi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, menurun kepada 33% berbanding 57% pada bulan Disember 2024.
Sementara itu, 41% responden berpuas hati dengan prestasi Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Perikatan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Barisan Nasional (15%) dan Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ketua Pembangkang (16%).
Untuk calon Perdana Menteri dalam PRU-16, 33% responden memilih Muhyiddin Yassin, Anwar Ibrahim (25%), Zahid Hamidi (14%) dan Hamzah Zainudin (13%).
Sentimen negatif semasa responden terhadap prestasi ekonomi, politik dan pentadbiran negara sebahagian besarnya dipengaruhi oleh pelaksanaan beberapa dasar baharu oleh kerajaan seperti peluasan skop SST, kenaikan tarif elektrik, rasionalisasi subsidi dan isu kos sara hidup yang dilihat masih membebankan rakyat.
INSTITUT MASA DEPAN MALAYSIA
25 Julai 2025
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami