should-I-stay-or-should-I-go-broken-heart.jpg
Putus cinta. Ah, siapa yang tidak pernah mengalaminya. Sakitnya bagaikan dihiris-hiris ulu hati. Pedihnya bagai luka dalam dicurah cuka. Deritanya bagai terpasung di penjara selama-lama. Tipulah andai ada yang berani menyatakan dia tidak pernah putus cinta. Itu adalah lumrah dalam diari makhluk bergelar insan. Cinta ibarat permainan
trial and error. Kadangkala perlu kita melalui segala kesukaran dan kesilapan beberapa kali sehingga menemui cinta sejati.

Penangan putus cinta tidak terduga akibatnya. Ada yang sanggup membunuh diri malahan ada yang menjadi gila sepanjang hayat. Hanya orang yang pernah mengalami rasa putus cinta ini mengetahui betapa pedih dan sakit kala kehilangan orang yang selama ini kita sayang dan ambil berat. Apatah lagi andai puncanya bukan salah kita. Kala itu air mata menjadi teman setia. Makan pun tidak lalu apatah lagi untuk meneruskan kehidupan harian. Bukan mudah untuk melalui hari-hari mendatang dengan beban berat tersangkut di bahu. Suatu beban yang tidak mampu dilihat tetapi itulah yang perlu ditanggung oleh orang yang telah ditinggalkan kekasih. Hidup terasa kosong dan tidak bererti. Setiap langkah terasa canggung. Setiap bicara bagaikan menelan hempedu pahit.

Bukan perkara enteng untuk melupakan dan memadam kenangan indah kala asyik dibuai cinta. Andai tercipta mesin yang boleh membuat kita mampu melupakan peristiwa pahit putus cinta, akan larislah produk itu di seluruh dunia. Saya teringat bagaimana Kate Winslet menjalani suatu proses menghilangkan memorinya bersama Jim Carrey dalam filem Eternal Sunshine Of Spotless Mind. Kalaulah perkara itu boleh dilakukan, alangkah bagsunya. Namun kita terpaksa menelan segala kepahitan putus cinta walaupun berat untuk dilakukan. Takkan terpadam segala ingatan kita bersama-sama insan yang pernah kita cinta.

Kita akui takkan termampu kita membuang segala sejarah pedih itu, namun saya ada beberapa tips bagaimana hati tersebut diubati. Ini berdasarkan pengalaman peribadi juga petua-petua yang diberi oleh teman-teman yang pernah mengalami nasib serupa. Anda boleh cuba terutama yang baru pertama kali kehilangan cinta. Mana tahu ia bisa mengubat hati kita biarpun tidaklah mampu untuk disembuhkan sepenuhnya.

TIPS 1

JANGAN ADA BENCI

Walau seteruk mana hati anda dilukai oleh si dia, jangan pernah sesekali membencinya. Semakin anda menanam rasa benci di hati anda, semakin kuat kasih sayang itu bertapak. Percayalah, saya sendiri pernah mengalaminya. Pada saat pertama hati itu terluka, pasti anda akan berkata-kata dengan penuh emosi “Aku bencikan dia!” berulang kali. Namun tidakkah anda sedar sebenarnya anda menafikan perasaan kasih sayang yang masih bersisa terhadapnya. Anda boleh berkata, “Get the hell out of my life” namun tanpa sedar dan tanpa rela anda merasakan dialah insan yang paling anda sayang walaupun sukma telah cedera parah. Betullah kata-kata orang tua, semakin benci semakin sayang.

Oleh itu, untuk mengelakkan diri daripada masih berpaut pada kasih sayang orang yang tidak berguna meninggalkan anda itu, jangan pernah membenci si dia. Biarpun hati dicincang lumat, pahatkan dalam fikiran bahawa sekurang-kurangnya dia pernah membuat anda belayar di lautan rindu, mendaki puncak kebahagiaan dan berbuai di taman asmara. Hargailah detik-detik manis namun jangan sesekali pernah berkeinginan untuk kembali kepadanya.

Anggaplah si dia yang durjana itu seperti angin lalu yang sesekali berhembus ke pipi lalu hilang pergi. Perlahan-lahan anda akan berasa lega kerana terlepas satu beban yang berat. Tanamkan kuat-kuat di dalam hati bahawa anda ialah orang yang berhak dicintai oleh seseorang yang lebih baik. Percayalah, lama-kelamaan hati itu akan terubat. Hidup ini akan tenang. Jangan pernah melupakan pengkhianatan yang telah dilakukan namun lepaskanlah si dia dengan lapang dada. Doakan kebahagiaannya dan akhirnya tanpa sedar anda telah berjaya get over that person tanpa sebarang dendam terbuku di hati. Dengarkan dan hayati bait-bait lirik lagu Jangan Ada Benci nyanyian Casey, itulah pengajaran yang akan menyembuhkan sakit di jiwa.

TIPS 2

FILEM BERINSPIRASI JADI TERAPI

Pada pendapat peribadi saya, menonton filem adalah satu terapi yang sangat berkesan. Filem kadangkala mampu membawa kita ke alam lain yang tidak terbayang dan terjangkau oleh akal kita. Siapa pernah menjangkakan siri filem Star Wars mampu melangkaui zaman dan pemikiran kita. Filem juga boleh memberi kekuatan dan juga kesedaran. Andai anda tidak percaya, carilah novel Jukstaposisi karya Hizairi Othman (tuk guru saya sebenarnya). Pasti anda akan mewajarkan pendapat saya ini.

Bagaimana menonton filem boleh mengubat hati luka? Begini, ketika anda sedih, menangis atau meraung mengenangkan si dia yang telah menghantar santau berbisa dengan ungkapan “Setakat ini sahaja perhubungan kita”, anda pergilah ke panggung wayang atau membeli DVD filem-filem yang akan memberi anda kekuatan dan mungkin juga panduan untuk menyesuaikan hidup anda yang kembali solo kini.

Saya sarankan anda mencari Bridget Jones’ Diary, Legally Blonde dan First Wives Club. Ambillah inspirasi bagaimana Reese Witherspoon dalam Legally Blonde berjaya mengatasi kedukaan ditinggalkan kekasih dengan meraih ijazah undang-undang dari Universiti Harvard sebagai membalas penghinaan bahawa dia tidak layak bersama-sama lelaki tersebut hanya kerana dia berambut blonde. Filem ini memberi inspirasi bahawa setiap insan mampu bangkit daripada kekecewaan dan berjaya dalam kerjaya dan hidup.

Jangan pula anda mencari filem-filem yang akan mengundang air mata seperti Titanic atau filem-filem Hindustan. Itu akan membuat anda sentiasa dibayangi kesedihan berpanjangan. Secara tidak langsung akan menyukarkan anda melupakan si dia. Jangan jadi bodoh seperti Aishwarya Rai yang sanggup mengenepikan peristiwa dihina oleh si jejaka dan menerimanya kembali dalam filem Taal.

Mungkin juga anda boleh menonton filem-filem komedi yang menggeletek hati untuk melupakan kesedihan. Laughter is the best medicine. Saya cadangkan anda menonton filem White Chicks, Baik Punya Cilok dan koleksi filem komedi Stephen Chow( I strongly recommend this collection). Sedikit sebanyak hati anda akan terhibur dan terlupa akan kepedihan yang dialami.

TIPS 3

DENGAR LAGU PEMBERI SEMANGAT

Anda biasa mendengar lagu-lagu meratap pilu akibat ditinggalkan kekasih? Ah, buang semua koleksi lagu tersebut daripada ingatan anda. Takkanlah anda hendak melayan ratap tangis mendengar lagu Sampai Hati, Where Do Broken Hearts Go atau Gerimis Mengundang. Buang semuanya dalam bakul sampah fikiran anda. Melayani lagu-lagu sedemikian hanya akan membuat anda semakin lemah dan tidak berdaya. Apa guna hendak ditangiskan orang yang sudah mencarik-carik impian dan kasih sayang anda. Anda perlu bangkit dan bersedia berhadapan dengan hari-hari baru tanpa si dia yang tidak berguna satu sen itu.

Inilah lagu-lagu yang pada hemat saya mampu memberi anda kekuatan mengatasi keterlukaan hati kecewa. Untuk tema sebegini, lagu wajib ialah I Will Survive oleh Gloria Gaynor. Cari laguDengarlah Kasih oleh Camelia atau Tiada Maaf Bagimu oleh Sharifah Aini. Untuk kaum pria pula, hayati lirik lagu Tidak Mungkin Berpaling oleh Slam atau Berhenti Berharap oleh Sheila On 7. Anda pasti akan mendapat satu kekuatan baru menghadapi hari esok kala mendengar lagu-lagu pemberi semangat ini. Banyak lagu mampu memberi anda tenaga yang tidak terfikirkan anda memilikinya. Muzik juga bisa menenangkan jiwa kalau kena dengan lagu dan liriknya. Jauhkan daripada lagu-lagu jiwang karat. Anda bukan di alam percintaan lagi. Terima hakikat itu.

TIPS 4

SIBUKKAN DIRI KAMU

Anda ingin tahu mengapa semakin anda berusaha melupakan si dia, semakin kuat ingatan dan kerinduan anda terhadapnya? Jawapannya mudah sahaja. Anda tidak ada kerja lain! Itulah kebenaran yang perlu anda telan biarpun pahit. Apabila kita tidak membuat perkara-perkara selain daripada melayan perasaan dan menangis menghabiskan air mata di atas katil, semakin hebatlah si dia pada pandangan mata anda. Seolah-olah tiada orang di dunia ini yang akan mencurahkan cinta dan kasih sayang kepada anda. Mungkin kata hikmat teman baik saya ada benarnya: “Get a life!

Anda perlu memastikan anda sibuk selalu tanpa asyik memikirkan si dia sahaja. Saya dalam beberapa episod terluka dahulu mengalami perkara sama. Asyik tertanya-tanya kenapa bayangan si dia sahaja menghantui fikiran walaupun telah sedaya upaya menghalau kenangan pahit itu. Ketika zaman naïf tersebut, semakin kuat saya berusaha melupakan, semakin gagah pula sisa-sisa kasih sayang itu bangkit. Sehingga saya pernah bersemuka dan meminta untuk kembali semula kepadanya!

Lama-kelamaan apabila mengetuk pintu dewasa dan atas nasihat penuh hikmah seorang teman yang berbicara “Kau perlu buat kerja lain yang akan membuatmu sibuk. Apabila kau terlalu sibuk, kau tidak akan terkenangkan si dia lagi.” Saya cuba ikuti nasihat teman saya itu. Ia berkesan! Apabila kita sibuk, fokus fikiran kita akan tertumpu kepada satu perkara saja. Oleh itu, cari kerja lain yang akan membuatkan tumpuan dan ingatan anda beralih ke arah perkara lain. Sekiranya anda masih menuntut, fokuskan diri anda kepada pengajian. Untuk yang sudah bekerja, tingkatkan produktiviti kerja anda. Lama-kelamaan kita sudah terbiasa dengan kesibukan danmindset anda akan berubah sama sekali lalu si dia yang menjahanamkan kebahagiaan anda akan terbang jauh meninggalkan ingatan.

TIPS 5

BUANG BARANG-BARANG KENANGAN

Asal kapas menjadi benang,

Benang ditenun menjadi kain;

Barang lepas jangan dikenang,

Sudah menjadi milik yang lain.

Pantun di atas mengingatkan kita agar jangan mengenang perkara-perkara yang sudah berlalu. Satu lagi cara untuk anda melupakan atau menyingkirkan ingatan terhadap kisah pahit anda ialah membuang segala barang yang pernah menjadi kenangan percintaan anda. Ini juga merupakan satu terapi yang baik.

Andai kata anda masih menyimpan warkah-warkah cinta, hadiah-hadiah sempena Hari Valentine, hari lahir atau anniversary ucapan cinta diungkapkan, buang dan bakar sahaja benda-benda tidak berguna itu! Untuk apa anda masih perlu berpaut pada dahan kenangan? Tidak berbaloi langsung! Sekiranya anda masih teringin untuk mengabadikan koleksi warkah dan hadiah anda, I assume you are a sick person! Cari pakar sakit jiwa sekarang!

Apabila anda membaca surat-surat cinta atau membelek barang-barang kenangan, anda sebenarnya belum bersedia untuk melepaskan cinta lama anda pergi. Tidakkah pernah terdetik di fikiran, sebenarnya anda seorang yang masih terhegeh-hegeh menangisi percintaan lalu sedangkan si dia sedang asyik bercengkerama dengan kekasih baru? Apabila tiada lagi barang-barang kenangan di depan mata anda, pasti akan membuat anda terlupa akan si dia. Usah ditangis pada yang sudah pergi. Membazir waktu dan air mata sahaja. Tetapi sekiranya barang yang diberi itu mahal harganya seperti jam tangan Rolex atau rantai emas bertatah permata, janganlah anda bodoh membuangnya. Be practical! Bukan senang untuk anda mendapatkannya. Katakan pada diri. “I earned it.’ Andai yang diberi setakat teddy bear atau barangan kristal murah, tanpa sebarang keraguan, campakkan sahaja ke dalam tong sampah!

TIPS 6

CARI TEMAN MENGADU

Peranan teman-teman rapat juga amat penting dalam mengubati hati anda yang parah dicederakan cinta itu. Inilah masanya untuk kita menilai mana satu teman yang sanggup bersusah payah kala anda memerlukan bantuan dan pertolongan. Teman yang sejati bukan sahaja bisa bergelak ketawa sewaktu zaman keriangan, namun turut meminjamkan perhatian dan simpati apabila kita diamuk resah dan dilanda kesedihan. Bak kata Tommy Page, A shoulder to cry on.

Benar, ketika anda sedang berduka akibat dikecewakan oleh cinta, anda perlukan seseorang untuk mendengar keluh kesah dan memberi kata-kata penuh semangat dan hikmah untuk menyedapkan hati. Tidak semua cadangan dan idea yang diberikan oleh teman-teman itu perlu diikuti. Namun cukup untuk anda meluahkan dan melepaskan apa yang terbuku di hati selama ini.

Bukankah berbicara dan meluahkan isi hati merupakan antara penawar terbaik kala jiwa tertekan? Teman anda itu perlulah sedikit sebanyak mengetahui sejarah percintaan anda dan dia juga seorang good listener. Bukan setakat tahu bercakap sahaja. Tidak ramai mampu menjadi pendengar setia. Pilihlah teman yang bisa menjadi pemujuk dan penenang anda tatkala segala ribut badai menggoncang sukma anda.

Apabila anda mempunyai teman bicara yang sudi mendengar dan memahami situasi yang anda alami, anda akan berasa lega dan perlahan-lahan hati akan terubat biarpun sedikit. Apatah lagi mendengar madah-madah pujangga yang mampu memberi kekuatan dan semangat untuk anda bangun dari mimpi panjang. Tidak semua teman dikurniakan anugerah ini. Pandai-pandailah memilih teman. Pasakkan di dalam ingatan, a friend in need is a friend indeed.

TIPS 7

BERHENTI BERHARAP, CARI YANG LAIN!

Ini ialah tips paling berguna dan sangat wajib dilakukan oleh insan yang putus cinta. Hello, putus cinta bukan bermakna hidup anda sudah berakhir. Adatlah apa yang anda rancang dan impikan selama ini adakalanya tidak kesampaian. Bukan manusia namanya andai tidak pernah menempuh kegagalan dalam hidup. Itu adalah ujian Tuhan untuk menguji tahap kekuatan dan kesabaran dalam mengharungi hidup yang fana ini (bermadah berhelah pula saya!).

Saya percaya bahawa setiap insan di dunia ini telah diciptakan pasangannya masing-masing. Andai orang yang anda cintai itu bukanlah kekasih idaman untuk dicalonkan sebagai teman sehidup semati, maka percayalah akan datang insan lain yang sudi mempersembahkan mahar cintanya untuk anda. Biarpun berkali-kali dikecewakan, jangan pernah lelah mencari cinta baru sehinggan anda diketemukan insan yang akan mencintai dan menyayangi anda lebih daripada nyawanya sendiri. Jangan bimbang, memang wujud insan sedemikian rupa.

Cuba anda renungkan, bagaimana Nicole Kidman hampir separuh nyawa merana ditinggalkan Tom Cruise. Namun dia bingkas bangun mencari cinta baru. Begitu juga Jennifer Aniston yang terluka dikayutigakan oleh Brad Pitt. Begitu juga hero Law and Order, Benjamin Bratt. Setelah hatinya hancur ditinggalkan oleh Julia Roberts, dia tanpa lengah mencari kekasih baru.

Terlalu banyak contoh di dunia ini untuk anda jadikan contoh. Usah mengeluh terlalu sukar untuk mencari kekasih yang seperti dahulu yang kononnya bisa menerima anda seadanya. Banyak lagi bersepah-sepah kekasih pilihan di luar sana menanti masa untuk menghulurkan hati mereka untuk anda. Katakan kepada diri sendiri, “I deserve a better person to love me!

Percayalah, hati yang terpecah-pecah itu akan bercantum kembali malahan anda akan merasai kebahagiaan yang tidak pernah terbayangkan. Lebihkan usaha! Adakala cinta perlu dicari, bukan selalu ia akan datang sendiri.

Menangani kehidupan selepas putus cinta memang menyeksakan. Namun bukankah sekeping hati itu berhak untuk diberi peluang supaya disembuhkan? Banyak cara yang boleh anda lakukan untuk membalut kelukaan agar tidak membengkak dan bernanah sehinggakan anda tidak mahu bercinta lagi.

Apa jua tips yang saya cadangkan anda bukanlah sempurna secara total sebenarnya. Ia juga mungkin mengambil masa lama untuk betul-betul sembuh daripada mimpi sedih yang membuat jiwa nanar dan tidak tentu arah. Sekadar memberi panduan kalau-kalau ia berkesan dan memebrikan sedikit sinar di kamar hati yang selama ini kelam dan tertutup. Lalikan jiwa kebalkan sukma anda untuk sentiasa berhadapan dengan apa jua keadaan.

Saya bukanlah master of love. Cuma ingin berkongsi sedikit petua dan pengalaman bagaimana meladeni perasaan yang ditoreh-toreh kejam oleh orang yang pernah kita cintai. Namun jangan sesekali pernah menutup dan mengunci pintu hati anda untuk menerima kehadiran cinta baru. Tuhan menciptakan hati untuk kita berasa disayangi juga untuk membalas kasih sayang itu. Cari dan temukanlah cinta sejati anda biarpun berulangkali hati terluka. Sekurang-kurangnya ia akan memberi kita pengalaman dan pengajaran berguna bagaimana berhadapan dengan keadaan yang serupa pada masa hadapan. Cintailah cinta dengan sesungguhnya. Jalan kebahagiaan akan terbentang luas menanti anda. Saya titipkan anda serangkap pantun lama.

Kalau tuan menanam selasih,

Jangan ditanam di bawah titi;

Kalau tuan memilih kasih,

Jangan berubah sampai ke mati.

Teks: KHAIRUL NIZAM ABD RAUB