ALOR SETAR: Ibu tunggal yang ditikam dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas dekat sini pada malam Ahad cedera parah selepas tikaman menembusi leher dari kiri ke kanan.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.19 malam itu, mangsa berusia 35 tahun dipercayai ditikam seorang lelaki dikenali ketika berada di dalam kereta jenis Mazda 3 miliknya.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati tikaman tersebut menembusi bahagian kiri hingga kanan leher mangsa.
“Kalau kita tengok dari segi posisi, mangsa berada di tempat pemandu manakala suspek di bahagian penumpang sebelah,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada Isnin.
Menurut beliau, mangsa bagaimanapun berjaya menarik perhatian orang awam dengan membunyikan hon keretanya sejurus selepas kejadian.
“Tindakan pantas mangsa menekan hon menyebabkan orang ramai dan pekerja gerai berhampiran tampil membantu sebelum suspek melarikan diri,” katanya.
Walaubagaimanapun, suspek kemudiannya dipercayai melarikan diri selepas kejadian namun berjaya ditahan oleh polis di kawasan Masjid Taman Uda di sini pada jam 1.50 pagi pada Isnin.
Senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut sebuah pisau 'Rambo' saiz enam inci telah dibuang oleh suspek di kawasan sawah iaitu kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.
Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 24 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata. - Sinar Harian