Tujuh warga asing ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan atas talian.

Kesemua suspek ditahan dalam satu serbuan Unit D7 Bersama Unit Jenayah komersial IPD Klang Selatan yang dilakukan di sebuah unit apartment Perdana Villa, Klang awal pagi tadi.

Ketua Operasi, ASP Mohd Akmalrizal Razi memaklumkan, serbuan dilakukan hasil laporan mangsa yang ditipu dengan kerugian RM 20,000.

Jelas Akmalrizal, modus operandi suspek adalah menawarkan barangan yang tidak wujud melalui laman media sosial.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Suspek yang berusia antara 25 hingga 44 tahun itu melibatkan lima lelaki warga Nigeria dan dua wanita, masing-masing dari Thailand dan Filipina.

Parcel Scam
Antara warga asing yang ditahan dalam operasi itu - Foto PDRM

Kesemua mereka ditahan reman pada Khamis.