[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
MALAYSIA

Tipu pakej haji: Pakar cadang gubal akta khas perkhidmatan haji, umrah

Bernama 23/06/2025 | 03:20 MYT
Hazrin Izwan mencadangkan agar akta khas dan menyeluruh digubal bagi memperkasakan pengurusan perkhidmatan haji dan umrah di negara ini, sekali gus mengukuhkan peruntukan sedia ada. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Peningkatan kes penipuan perkhidmatan pakej haji melibatkan penggunaan visa tidak sah semakin membimbangkan sekali gus mengundang perhatian serius pihak berkuasa dalam menangani permasalahan yang timbul setiap kali musim haji.

Ringkasan AI
  • Penipuan Visa Haji Semakin Membimbangkan - Kes penipuan pakej haji menggunakan visa tidak sah semakin meningkat walaupun amaran telah dikeluarkan oleh Arab Saudi, menyebabkan ramai jemaah tertipu.
  • Cadangan Akta Khas dan Skim Perlindungan Jemaah - Pakar mencadangkan akta khas bagi memperkukuh kawal selia perkhidmatan haji dan umrah termasuk penguatkuasaan lebih tegas, skim insurans wajib, dan penggunaan akaun amanah untuk lindungi hak jemaah.
  • Kerjasama Penguatkuasaan dan Kesedaran Awam Ditekankan - MOTAC, Tabung Haji, dan agensi lain disaran bekerjasama kuatkan penguatkuasaan ke atas syarikat tidak sah, serta wujudkan pangkalan data ejen berlesen agar rakyat boleh semak status sebelum membuat bayaran.

Biarpun Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berulang kali memberi amaran mengenai kemasukan ke negara itu bagi tujuan haji mesti menggunakan visa haji rasmi dikeluarkan negara berkenaan, namun masih ada pihak mengambil kesempatan mengaut keuntungan menerusi penipuan pakej haji.
Ketua Bahagian Pengurusan Penjanaan Strategik, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Dr Hazrin Izwan Che Haron mencadangkan agar akta khas dan menyeluruh digubal bagi memperkasakan pengurusan perkhidmatan haji dan umrah di negara ini, sekali gus mengukuhkan peruntukan sedia ada yang kini dikuatkuasakan oleh agensi berasingan.
Beliau berkata peruntukan undang-undang khas bagi perkhidmatan haji dan umrah dapat membantu mengukuhkan penguatkuasaan dari pelbagai aspek seperti larangan penawaran tanpa lesen, penalti berat kepada pesalah dan hak perlindungan jemaah.
"Cadangan ini boleh memberi kuasa penguatkuasaan yang lebih kuat kepada pihak berwajib untuk menyita, membekukan akaun dan menahan operasi secara serta-merta.
"Akta yang diperkasakan ini juga dapat membangunkan mekanisme skim insurans bagi pakej yang wajib diperkenalkan untuk setiap jemaah bagi memastikan wang dibayar dilindungi sekiranya berlaku pembatalan pakej, penipuan ejen dan kegagalan logistik (ralat visa)," katanya kepada Bernama.
Hazrin Izwan berkata skim insurans itu bukan sahaja melindungi jemaah malah turut memastikan hanya agensi sah yang berdaftar dapat beroperasi, sekali gus meningkatkan ketelusan dan kredibiliti.
Beliau juga mencadangkan pelaksanaan sistem akaun amanah, iaitu wang pelanggan disimpan dalam akaun khas atas nama jemaah dan tidak disalurkan terus ke akaun operasi agensi terlibat manakala pembayaran kepada agensi dilakukan secara berperingkat mengikut fasa perjalanan jemaah.
"Kaedah ini sangat efisien dalam mengelakkan penyelewengan dana sekali gus memastikan hak jemaah haji dan umrah terlibat terjamin," katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Noor Dzuhaidah Osman berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Tabung Haji (TH) perlu bekerjasama serta mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang melanggar peraturan dengan mengenakan hukuman lebih berat termasuk menyenaraihitamkan syarikat terlibat.
Noor Dzuhaidah juga mencadangkan supaya sebuah pangkalan data awam ejen berlesen diwujudkan bagi memudahkan rakyat menyemak kesahihan ejen yang boleh dipercayai dan memiliki lesen sah untuk mengendalikan jemaah haji.
"TH perlu mempunyai pangkalan data awam ejen berlesen tersebut dengan membuat senarai syarikat pengelola haji dan umrah yang sah bagi memudahkan bakal jemaah melakukan semakan sebelum membuat sebarang pembayaran sekali gus mengelakkan mereka ditipu dengan pakej haji palsu," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata kesedaran orang ramai tetap menjadi faktor utama dalam mengelakkan penipuan, justeru, jemaah dinasihatkan supaya menyemak status syarikat sebelum membuat sebarang pembayaran atau menerima tawaran luar biasa berkaitan haji.
Sementara itu, TH memaklumkan agensi tersebut hanya boleh bertindak segera terhadap sebarang salah laku atau kes penipuan melibatkan agensi pelancongan yang telah diberikan lesen untuk mengendalikan urusan perjalanan haji ke Makkah.
TH menjelaskan sekiranya terdapat aduan penipuan atau salah laku oleh mana-mana agensi yang berlesen maka agensi berkenaan boleh mengambil tindakan antaranya membatalkan lesen serta menyenaraihitamkan agensi tersebut dan mengenakan denda atau kedua-duanya.
Bagaimanapun, TH memaklumkan sebarang tindakan dan penguatkuasaan terhadap agensi tidak dilesenkan oleh TH memerlukan tindakan bersama antara TH dan agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MOTAC mengikut bidang kuasa masing-masing.
"Dalam urusan haji, penipuan biasa berlaku adalah dari syarikat tidak berlesen yang mendakwa mempunyai visa haji. Kebelakangan ini, syarikat-syarikat itu mendakwa boleh menukar status visa umrah atau visa pelancong kepada visa haji apabila tiba di Tanah Suci.
"Kami hanya boleh membuat andaian bahawa bakal jemaah telah dijanjikan penukaran visa umrah atau visa pelancong kepada visa haji dan juga penawaran pakej murah atau pakej tajaan yang tidak realistik.
"Oleh itu, TH telah memberi peringatan berulang kepada umat Islam tentang penipuan ini dan kenyataan sama juga telah dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar mengenai isu tersebut," menurut TH dalam kenyataan kepada Bernama.
Menurut TH, sebanyak 37 syarikat pelancongan telah dilesenkan di bawah agensi berkenaan.
"Malah TH juga tidak terlibat dalam penawaran pakej umrah. Jadi mereka yang ingin menunaikan ibadah haji melalui pakej haji dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dan menggunakan perkhidmatan Syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) kerana TH sentiasa memantau semua PJH," menurut TH.
Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata kerajaan Arab Saudi membebaskan 47 jemaah haji Malaysia yang melanggar peraturan permit haji akibat ditipu ejen tempatan baru-baru ini, dan kesemua mereka hanya diberi amaran berhubung kesalahan itu.
-- BERNAMA
#tipu #akta #haji dan umrah #undang-undang