TITAH DIRAJA
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA
SERI PADUKA BAGINDA
YANG DI-PERTUAN AGONG
SEMPENA
HARI KEPUTERAAN KDYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG
PADA
17 OGOS 2020 MASIHI
BERSAMAAN
27 ZULHIJJAH 1441 HIJRAH
BERTEMPAT DI
ISTANA MELAWATI, PUTRAJAYA
بسم الله الر حمن الر حيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام
على اشرف الانبياء والمرسلين
وعلى اله وصحبه اجمعين
رب اشرح لي صدرى ويسرلي امري
والحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA
SERI PADUKA BAGINDA
YANG DI-PERTUAN AGONG
SEMPENA
HARI KEPUTERAAN KDYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG
PADA
17 OGOS 2020 MASIHI
BERSAMAAN
27 ZULHIJJAH 1441 HIJRAH
BERTEMPAT DI
ISTANA MELAWATI, PUTRAJAYA
بسم الله الر حمن الر حيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام
على اشرف الانبياء والمرسلين
وعلى اله وصحبه اجمعين
رب اشرح لي صدرى ويسرلي امري
والحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي
"Alhamdulillah. Beta melafazkan kalimah syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan keizinanNya juga; beta dan Raja Permaisuri Agong telah dikurniakan keafiatan untuk berangkat ke istiadat menghadap dan pengurniaan darjah kebesaran; bersempena sambutan Hari Ulangtahun Keputeraan Rasmi Beta; pada pagi yang sungguh bermakna ini.
Sebagai pembuka titah; Beta ingin merakamkan ucapan terima kasih di atas perutusan sembah ucapan tahniah dan selamat kepada Beta oleh memanda Perdana Menteri; Yang Amat Berhormat Tan Sri Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yasin; yang mewakili kerajaan Beta; perkhidmatan awam serta rakyat jelata keseluruhannya.
Beta turut ingin merakamkan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Qaley Allahverdiyev; Duta Besar Republik Azerbaijan yang mewakili duta-duta dan pesuruhjaya tinggi asing di Malaysia; di atas ucapan tahniah dan selamat yang telah di-persembahkan kepada beta.
Hadirin dan hadirat yang beta kasihi sekalian.
Negara telah melalui pelbagai cabaran getir ekoran daripada pandemik COVID-19. Beta sedar bahawa pandemik COVID-19 ini masih belum selesai dan ianya telah mengundang keadaan sukar yang membawa kedukaan kepada rakyat jelata.
Yakinlah; setiap musibah atau ujian yang melanda adalah dalam pengetahuan Allah Subhanahu Wata’ala. Susungguhnya Allah tidak akan menimpakan ujian kecuali ia sesuai dengan kemampuan hamba-nya; seperti yang difirmankan dalam surah Al-Baqarah; ayat ke-286; yang bermaksud:
“Allah tidak memberati seseorang melainkan dengan apa yang terdaya olehnya.”
Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.
Pada pagi yang penuh bermakna ini; Beta ingin mengajak rakyat jelata untuk kita bersama-sama mengorak langkah maju kehadapan.
Pada pengamatan Beta; segala dugaan ini akan dapat kita hadapi menerusi pembentukan simbiosis yang erat di antara kerajaan Beta; dengan rakyat jelata.
Sudah tentu; sagu hanya boleh diambil setelah dipecahkan ruyung. Manakala; yang bulat tidak datang bergolek; dan yang pipih tidak datang melayang.
Kerana itulah; Beta sangat menyanjung tinggi pelbagai usaha keras dan langkah berani yang telah dan bakal diambil oleh kerajaan Beta untuk melindungi keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata.
Beta telah mengikuti ucapan memanda Perdana Menteri sebentar tadi dan Beta menghargai tindakan bistari kerajaan Beta dalam memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020; Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dan juga Pelan Jana Semula Ekonomi Negara.
Beta percaya; rakyat jelata akan mendapat manfaat daripada pakej-pakej tersebut. Beta berharap; lebih banyak program kesejahteraan rakyat akan dapat dilaksanakan oleh kerajaan Beta pada masa-masa hadapan.
Beta juga amat bersetuju dengan pendekatan holistik yang diambil oleh kerajaan Beta bagi menggiatkan semula sektor ekonomi dan perindustrian negara; disamping mewujudkan ekosistem yang lebih mesra perniagaan; dan lebih banyak peluang pekerjaan.
Semua inisiatif dan pendekatan tersebut jelas membuktikan bahawa kerajaan di bawah pimpinan memanda Perdana Menteri telah menyahut seruan Beta untuk sentiasa menjiwai keluh kesah dan membela nasib rakyat jelata.
Selain itu; Beta melihat urus niaga dalam talian semakin mendapat tempat di hati rakyat jelata dan sangat bersesuaian dengan norma baru.
Justeru; ianya wajar ditingkatkan selaras dengan matlamat negara untuk meningkatkan penggunaan teknologi; dan membentuk masyarakat tanpa tunai dalam merancakkan ekonomi digital.
Pada masa yang sama; Beta turut menggesa agar perkhidmatan awam bersedia melalui pembaharuan dan penambahbaikan agar ianya lebih responsif dalam memudahkan urusan rakyat jelata.
Kerajaan Beta juga hendaklah terus memberi penekanan terhadap nilai integriti dan tadbir urus yang baik. Rasuah dan salah guna kuasa hendaklah terus diperangi tanpa mengira sesiapa.
Hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian.
Melangkah kehadapan; rakyat jelata juga hendaklah terus bersatu padu dalam memerangi pandemik COVID-19 ini. Beta sangat berbangga melihat solidariti rakyat berbilang kaum menerusi pelbagai kerja-kerja suka-relawan yang dipamerkan sepanjang negara berhadapan dengan pandemik ini.
Semua sifat terpuji ini sangat bertepatan dengan tema “Malaysia Prihatin” bersempena sambutan hari kebangsaan pada tahun ini.
Beta berkeyakinan; kejayaan akan dapat kita capai menerusi sifat prihatin sesama kita sebagai satu bangsa Malaysia yang bersatu padu dan didokong pula dengan semangat patriotisme yang tinggi.
Masa depan yang bakal ditempuhi bukanlah masa untuk mengadu domba perkara yang remeh; mahupun mencetus sengketa dalam pentas pertarungan yang hanya mengundang musibah kepada rakyat jelata.
Sebaliknya; kita hendaklah maju melangkah ke hadapan di atas landasan solidariti yang kukuh di antara kerajaan beta dengan rakyat jelata; tanpa mengira bangsa dan agama mahupun fahaman politik.
Sahutlah seruan Beta untuk kita terus kekal sehati sejiwa dan penuh muafakat dengan semangat patriotisme yang tinggi; agar negara yang kita sayangi ini kembali menempa kemajuan dan terus stabil mencapai matlamat yang diimpikan.
Hadirin dan hadirat yang beta kasihi sekalian.
Izinkan Beta pada kesempatan ini untuk menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia di atas ucapan tahniah dan doa yang telah dipersembahkan bersempena hari keputeraan Beta.
Sesungguhnya; ingatan daripada rakyat jelata sekalian telah menaikkan lagi iltizam dan tekad Beta untuk terus memayungi rakyat jelata dan negara.
Beta berharap agar rakyat jelata akan terus bertabah untuk melewati saat-saat sukar yang belum pernah kita alami sebelum ini.
Beta turut ingin merakamkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat memanda Perdana Menteri; kerajaan Beta; anggota pentadbiran; penjawat awam dan anggota pasukan keselamatan yang sentiasa taat setia dalam menggalas amanah.
Mengakhiri titah; Beta dan Raja Permaisuri Agong berdoa semoga Allah Subhanahu Wata’ala menjauhi negara dari wabak penyakit yang melanda ini; dan seterusnya melimpahi Malaysia yang tercinta ini dengan keberkatan serta keamanan dan perpaduan yang berkekalan.
Sekian.