KUALA LUMPUR: Titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menggesa rakyat Malaysia mengukuhkan perpaduan dan kekal tidak tunduk kepada suara yang mengeksploitasi kaum dan agama adalah amat wajar, kata Pengerusi Jawatankuasa Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) Datuk R. Ramanan.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata titah Sultan Sharafuddin itu tepat bahawa Malaysia perlu berbangga dengan latar belakang berbilang kaum dan ia harus dipertahankan.

"Titah Tuanku adalah paling meyakinkan kembali kerana ada pihak yang cuba mengubah kepelbagaian rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan mengulas mengenai berita yang dilaporkan Sunday Star semalam.

Sultan Sharafuddin dalam temu bual eksklusif dengan Sunday Star mengingatkan kepada rakyat Malaysia agar terus mempertahankan nilai dan latar belakang pelbagai budaya kerana ia kekal sebagai kekuatan yang menyatukan negara.

Baginda bertitah Malaysia merupakan negara yang mempunyai pelbagai budaya yang dipelihara sejak merdeka.

Menurut Ramanan, titah Sultan Sharafuddin berkenaan rakyat Malaysia perlu menolak ahli politik yang menggunakan isu kaum, agama dan raja (3R) adalah tepat.

"Langkah terbaik untuk memerangi eksploitasi isu 3R adalah dengan menolak mereka. Jangan galakkan dengan cara mengundi mereka, sepertimana titah tuanku," katanya.

Ramanan juga menzahirkan penghargaan kepada Sultan Sharafuddin kerana bersuara untuk rakyat Malaysia.

-- BERNAMA