Skip to main content

Malaysia

Jualan RON95 di stesen minyak sempadan menurun 20 peratus, RON97 meningkat - Saifuddin

CHANGLUN, 16 April -- Pasukan Gerakan Am (PGA) melaksanakan penugasan di stesen minyak berisiko tinggi ketirisan bahan api bersubsidi, khususnya di kawasan berhampiran sempadan negara.  Sebanyak 36 stesen minyak telah diklasifikasikan sebagai hotspot, manakala 55 lagi dikenal pasti sebagai lokasi berisiko susulan peningkatan aktiviti ketirisan yang dipercayai dipengaruhi faktor semasa termasuk krisis tenaga global.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Saifuddin berkata, di Kedah sahaja dari Januari hingga 22 April lalu, sebanyak 58 kes direkodkan melalui Op TIRIS membabitkan rampasan pelbagai komoditi dengan jumlah 33,586 unit bernilai RM121,945.45. -Gambar fail/Bernama

LANGKAWI: Pelaksanaan Op TIRIS menunjukkan keberkesanan apabila jualan petrol RON95 di stesen minyak sempadan merekodkan penurunan sebanyak 20 peratus dalam tempoh lapan hari pemantauan dari 13 hingga 21 April.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penurunan itu membuktikan strategi penguatkuasaan kerajaan tepat dalam mengekang kebocoran subsidi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Advertisement

“Sejak kita letakkan anggota polis di stesen minyak berhampiran sempadan negara, data terkumpul menunjukkan jualan petrol RON95 menyusut sebanyak 20 peratus, manakala jualan RON97 meningkat.

“Maksudnya strategi kita berjaya. Penurunan 20 peratus itu membongkar kebocoran subsidi RON95 yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya pada lawatan kerja dan pemantauan operasi kawalan sempadan Malaysia-Thailand, di sini, pada Sabtu.  

Menurut beliau, Op TIRIS dilaksanakan susulan ketidaktentuan ekonomi global termasuk konflik di Asia Barat yang berpotensi menjejaskan bekalan serta harga bahan api.

"Kita menghadapi potensi gangguan bekalan bahan api ketika ini, demikian itu kita tak mahu berlaku sebarang kebocoran, ketirisan dan penyeludupan minyak subsidi RON95.

"Kementerian Dalam Negeri berusaha sedaya upaya, bukan sahaja di Kedah, kita sudah menempatkan anggota di 91 stesen minyak sempadan berisiko tinggi seluruh negara untuk membuat pemantauan," jelasnya.

Tambah Saifuddin, di Kedah sahaja dari Januari hingga 22 April lalu, sebanyak 58 kes direkodkan melalui Op TIRIS membabitkan rampasan pelbagai komoditi dengan jumlah 33,586 unit bernilai RM121,945.45.  

Menurutnya, diesel kekal menjadi sasaran utama sindiket dengan nilai rampasan mencecah RM101,676.20, diikuti petrol RM10,561.54 serta barangan lain seperti minyak masak, gas petroleum cecair (LPG), gula pasir kasar dan tepung gandum.

“Malah beberapa hari lepas, kita berjaya gagalkan penyelewengan diesel subsidi. Modus operandi mereka, pengguna diesel yang menikmati subsidi melalui fleet card beli diesel dengan harga subsidi, kemudian dijual kepada sindiket.

"Sindiket pula jual pada kilang-kilang dengan harga lebih tinggi. Menerusi intipan pasukan polis, kita berjaya mematahkan kegiatan itu, kes telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, KDN memperkukuh benteng keselamatan di Langkawi menerusi penggunaan radar pengesanan, pemantauan udara, rondaan laut dan perkongsian risikan pelbagai agensi.

Tegasnya, Langkawi merupakan kawasan strategik dari sudut keselamatan dan ekonomi negara berikutan kedudukannya berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.

"Kerajaan menempatkan pos kawalan strategik di Teluk Ewa sejak Januari lalu bagi mempertingkat tahap pengawasan perairan Langkawi.

“Dengan menempatkan pos strategik seperti ini, kita akan memantau titik panas penyeludupan, pendaratan PATI, pendaratan pelarian dan apa juga elemen yang kita klasifikasikan sebagai sasaran curiga.

“Semua sumber di bawah KDN dikerah termasuk polis, Pasukan Gerakan AM (PGA), Polis Marin, Maritim dan RELA supaya sempadan negara sentiasa terkawal,” katanya.

Must Watch Video