YAN: Kejadian fenomena kepala air berlaku sekali lagi di Titi Hayun di kaki Gunung Jerai di sini, hari ini.

Kejadian berlaku sekitar jam 11 pagi selepas hujan lebat selama beberapa jam di bahagian hulu menyebabkan air melimpah ke atas jalan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, bagaimanapun kejadian pagi tadi tidak seteruk tragedi 18 Ogos lalu yang mengorbankan enam nyawa.

Beliau berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak dihantar ke kawasan kejadian untuk melakukan pemantauan.

"Air telah surut pada jam 2 petang dan keadaan di sekitar Titi Hayun setakat ini terkawal.

"Kita juga telah mengeluarkan amaran kepada penduduk kampung sekitar pusat peranginan itu supaya berhati-hati," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

BACA: Bencana Gunung Jerai: Kerajaan Pusat salur bantuan segera RM75 juta

BACA: Bencana Gunung Jerai: Mangsa imbau detik cemas digulung kepala air

Kejadian kepala air dan banjir lumpur pada 18 Ogos lalu, telah mengakibatkan beberapa kawasan di kaki Gunung Jerai termasuk Titi Hayun, Tupah, Seri Perigi dan Batu Hampar dilanda banjir lumpur dan tanah runtuh.

Kejadian itu mengorbankan enam mangsa manakala seorang lagi terselamat.