IPOH: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mematahkan cubaan jenayah rentas sempadan melibatkan penyeludupan 674 haiwan hidupan liar menggunakan sebuah bot jenis fiber di perairan Johor Tenggara, malam tadi.

TLDM dalam satu kenyataan memaklumkan dalam kejadian pada pukul 10.45 malam itu, seorang lelaki ditahan atas kesalahan melakukan aktiviti penyeludupan itu melalui jalan laut.

"Kejadian bermula apabila KD Handalan yang sedang dalam penugasan Op Benteng Laut telah mengesan keberadaan sebuah bot fiber yang mencurigakan dalam keadaan bergelap berhampiran Jeti Penumpang Tanjung Pengelih.

"Bertindak atas pengesanan, dua buah bot pemintas TLDM iaitu jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) Julong Julong dan RHIB Santi telah diatur gerak bagi melaksanakan pintasan di lapangan dan seterusnya menyiasat kontak curiga tersebut di posisi kira-kira 1.2 batu nautika Tenggara Tanjung Pengelih," menurut kenyataan itu hari ini.



Kenyataan itu menambah tindakan pantas RHIB Julong Julong dan RHIB Santi telah berjaya memintas dan seterusnya menahan bot fiber tersebut.

"Hasil pemeriksaan lanjut terdapat kira-kira 120 ekor burung murai batu, 540 ekor burung murai kampung dan 14 ekor ayam sabung dikesan sebagai muatan bot disyaki akan diseludup keluar.

"Bot yang disita bersama penyeludup dibawa ke Jeti Penumpang Tanjung Pengelih dan seterusnya telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk siasatan manakala hasil rampasan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Negeri Pahang bagi tindakan selanjutnya," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA