Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengemukakan empat inisiatif bagi mengekang isu ketidakpatuhan dan penyelewengan dan sekali gus membantu kerajaan dalam usaha memerangi rasuah.

Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin memaklumkan inisiatif pencegahan rasuah dan meningkat tadbir urus TLDM itu di dalam satu sesi khas antara TLDM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Wisma Pertahanan.

Inisiatif pertama melibatkan pelaksanaan konsolidasi semua kontraktor, syarikat pembekal dan perkhidmatan yang berdaftar dengan TLDM.

Ini bagi TLDM mengenal pasti syarikat yang benar-benar tulen, berkeupayaan serta komited untuk menyokong usaha menentukan kesiapsiagaan aset TLDM dibuat secara telus, berintegriti dan menjaga kepentingan TLDM dan kerajaan, kata kenyataan bersama TLDM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis.

Inisiatif kedua adalah menggalakkan pemberi maklumat di setiap lapisan warga TLDM dan masyarakat agar kes penyelewengan, salah laku, rasuah ataupun penyalahgunaan kuasa dapat diatasi sebaiknya.

Selain daripada itu kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang di tempat Jawatankuasa Penganugerahan Pembelian Terus bersidang serta tempat yang terdapat aktiviti perolehan supaya aspek ketelusan dapat dipastikan.

TLDM juga berhasrat untuk menerapkan Ikrar Integriti Korporat kepada syarikat-syarikat yang memperolehi kontrak dalam memberi perkhidmatan dan pembekalan kepada TLDM.

"Kesungguhan pihak pengurusan TLDM dalam menangani isu ketidakpatuhan merupakan langkah proaktif dan TLDM tidak akan berkompromi malahan tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang melakukan kesalahan pecah amanah dan kes penyelewengan," kata kenyataan itu.

Sementara itu Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Mustafar Ali yang hadir pada sesi khas itu menyambut baik inisiatif yang diumumkan oleh Ahmad Kamarulzaman dan SPRM akan memberi khidmat nasihat ke arah mencapai objektif berkenaan.

Dalam kenyataan itu, Mustafar berkata usaha itu merupakan komitmen yang serius bagi mendokong hasrat kerajaan dalam memerangi gejala rasuah dan beliau berharap banyak agensi lain dapat mencontohi tindakan proaktif TLDM.

Turut dicapai dalam sesi khas itu ialah penubuhan jawatankuasa bersama dalam merangka strategi dan inisiatif untuk memerangi rasuah dan meningkatkan tadbir urus TLDM.

"Tindakan proaktif ini penting bagi memantapkan pengurusan perolehan dan kewangan serta meningkatkan aspek integriti dalam TLDM. Usaha ini juga dapat memastikan ketelusan dan kejujuran dalam setiap proses
kerja, peraturan dan tatacara selain proses perancangan serta penyeliaan perolehan, tender mahupun kontrak dalam perkhidmatan TLDM," katanya lagi.

Ia berkata kerjasama ini penting dan perlu bagi TLDM untuk mendapatkan pandangan dan sokongan SPRM dalam menambah baik dasar, pengarahan ataupun prosedur yang mengekang kepada kelancaran tadbir urus organisasi TLDM.

Selain daripada Ahmad Kamarulzaman dan Mustafar, sesi khas itu turut disertai Pengurusan Tertinggi TLDM, Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan, Timbalan Pesuruhjaya serta enam pegawai penyiasat SPRM.