NATIONAL
TMM: Siling Stesen KTM Ipoh bocor, tandas daif, perlu baik pulih segera - Penumpang

Siling bangunan Stesen KTM Ipoh yang bocor. - Foto Astro AWANI
IPOH: Keadaan Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) di sini yang daif dan dikatakan bocor di beberapa tempat menjadi isu utama yang membelenggu para pengunjung serta penumpang perkhidmatan tersebut.
Rata-rata penumpang yang ditemui mendakwa, masih banyak kelemahan yang ada di bangunan tersebut, termasuk keadaan tandas yang boleh memberi imej negatif kepada orang luar.
Hashim Mat Nasir yang sering berulang alik dari Ipoh ke Tanjung Malim dengan kereta api mendakwa, banyak infrastruktur di situ perlu diperbaiki, lebih-lebih lagi sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
"Apa yang saya lihat sepanjang menggunakan perkhidmatan di stesen di sini, banyak yang perlu dibaik pulih. Termasuk parkir untuk motosikal yang tidak berbumbung."Selain itu apabila hujan lebat, pasti siling di dalam bangunan KTM akan bocor, sampai air pun menitik dan sebagainya.
"Sistem untuk menunggu atau beratur untuk periksa tiket pun kadangkala tidak efisien," katanya yang berulang alik dari Ipoh ke Tanjung Malim setiap minggu.

Pengunjung mendakwa, banyak infrastruktur di Stesen KTM Ipoh perlu diperbaiki, lebih-lebih lagi menjelang TMM 2026. - Foto Astro AWANI

Siling bangunan Stesen KTM Ipoh yang bocor. - Foto Astro AWANI
Sementara itu, pengunjung dari Kedah, Asharudin Che Ani dan isteri Nozita Zakaria berharap supaya beberapa infrastruktur di situ diperbaiki.
"Kalau di tempat lain ada bilik khas dengan pendingin hawa. Kalau boleh wujudkan lebih banyak gerai jualan di sini sebab yang ada sekarang terhad serta tidak banyak pilihan.
"Paling utama ialah keadaan tandas yang bocor teruk di bahagian bumbung. Tolong perbaiki demi kebersihan dan keselesaan ramai," katanya yang datang bercuti ke bandar raya ini bersama isteri dan anak.
Peniaga gerai kacang putih, K. Gunaseelan berkata, ramai pelancong yang keluar masuk ke Perak menggunakan kereta api.
Sepanjang lima tahun berniaga di situ, dia mendakwa, sering berdepan dengan siling bocor setiap kali hujan lebat.

Asharudin bersama isteri dan anak. - Foto Astro AWANI

Nor Hisham berkata, Stesen KTM Ipoh mampu menarik minat pelancong dengan adanya banyak artifak sejarah kereta api di situ. - Foto Astro AWANI
"Pelancong domestik dan luar negara ramai datang ke sini, tidak kira hujung minggu atau hari biasa. Diharapkan kerja-kerja baik pulih dilaksana segera," katanya lagi.
Tinjauan di stesen KTM baru-baru ini mendapati terdapat beberapa kerja baik pulih dilaksana di Hotel Majestic.
Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee berharap nilai keaslian stesen tersebut dikekalkan setelah ia dibaik pulih sepenuhnya.
"Antara yang boleh dikekalkan ialah lif lama hotel tersebut, selain itu hotel itu nanti boleh diwujudkan galeri mini sejarah mengenai stesen kereta api tersebut.
"Ia mampu menarik minat pelancong kerana dahulunya banyak artifak sejarah kereta api di situ," katanya.

K. Gunaseelan. - Foto Astro AWANI

Keadaan di Hotel Majestic. - Foto Astro AWANI
Menurutnya lagi, jika Hotel Majestic dibuka semula, ia wajar menampilkan tema klasik serta warisan.
"Kita boleh ambil contoh seperti di Hotel Raffles, Singapura, Station Hotel Kuala Lumpur dan Eastern & Oriental Hotel di Georgetown," katanya lagi.
Pada Jun tahun lalu, Datuk Bandar Ipoh ketika itu, Datuk Rumaizi Baharin mengesahkan Perbadanan Aset Keretapi akan melaksanakan kerja baik pulih dan naik taraf kemudahan di Stesen KTM Ipoh.
Ujarnya, kerja naik taraf itu akan dilaksanakan pada penghujung tahun 2024 dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh.
Katanya lagi, Hotel Majestic di situ yang terbiar dan usang sejak sekian lama juga akan termasuk dalam senarai untuk dibaik pulih.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami