PUTRAJAYA: Tohmahan beberapa pihak terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah-olah beliau lemah dalam isu Palestin adalah berniat jahat, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata penglibatan Anwar dalam isu itu amat jelas apabila mengambil bahagian dalam beberapa siri rundingan di peringkat antarabangsa selain berikhtiar bersungguh-sungguh untuk mencari penyelesaian bagi konflik tersebut berlandaskan undang-undang.

"Perdana Menteri juga telah menyanggah beberapa perkara tentang fitnah yang dibuat oleh pihak tertentu terhadapnya seolah-olah beliau lemah dalam isu Palestin sampai ada grafik yang mengaitkan beliau dengan logo atau bendera Israel.

"Ini bagi saya adalah satu tohmahan yang bersifat jahat," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar turut memberi amaran di Dewan Rakyat bahawa beliau akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengaitkannya dengan Israel, mengeluarkan kenyataan biadap dan melanggar tatasusila selain menyeru semua parti dan rakyat agar bersolidariti dalam isu Palestin serta tidak mempermainkan ia sebagai bahan politik.

Fahmi, yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, turut menjelaskan bahawa kenyataan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada 24 Okt lepas telah disalah tafsir oleh beberapa pihak seolah-olah kerajaan mencadangkan untuk mengeluarkan rakyat Palestin 'secara fizikal' dari Gaza.

"Beliau berkata kerajaan hendak keluarkan rakyat Palestin dan ayat ini telah disalah tafsir. Apa yang dimaksudkan ialah keluarkan mereka daripada kesempitan serta kesengsaraan yang mereka hadapi akibat konflik... PM juga telah sebut dengan jelas hari ini (di Dewan Rakyat) bahawa itu bukan maksud Menteri Dalam Negeri," katanya.

Beliau juga berkata KKD akan mengadakan penilaian kad laporan dalaman terhadapnya sempena setahun menggalas tanggungjawab agar penambahbaikan dapat dilakukan

Justeru, Fahmi meminta semua warga KKD mengisi kad laporan terhadap beliau bagi mendapatkan pandangan ikhlas serta menilai prestasi kerjanya dan pasukan selepas setahun mengemudi kementerian ini.

Fahmi, yang meminta Ketua Setiausaha KKD Datuk Mohamad Fauzi Md Isa menguruskan perkara itu, berkata tindakan tersebut bukan untuk mencari kesalahan sebaliknya melihat aspek yang perlu ditambah baik melalui penilaian oleh warga kementerian berkenaan.

-- BERNAMA