ARAU: Polis berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai pengedar dadah hasil serbuan di sebuah rumah di Batu 17, Kampung Padang Limau, Mukim Tunjang, Jitra, semalam.

Suspek berusia 42 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis jam 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, tangkapan itu susulan kejadian pada awal pagi 27 Nov lalu apabila suspek bersama rakannya melarikan diri ketika dikejar anggota Unit Kereta Peronda (MPV) di Lebuh Raya Arau.

Beliau berkata, dalam kejadian jam 1.40 pagi itu, anggota MPV terlihat dua lelaki berada di dalam sebuah kereta jenis Proton Satria dalam keadaan mencurigakan.

“Kenderaan MPV mengekori kereta berkenaan sehingga ke susur keluar Pauh lalu mengarahkan ia berhenti.

“Namun, pemandu Proton Satria memecut laju dan cuba melarikan diri menghala ke Taman Tengku Budriah, Pauh.

"Ketika itu, unit MPV telah meminta bantuan Unit Ronda Bermotosikal (URB).

“Ketika sampai di Lorong Tengku Budriah 6, suspek memberhentikan kenderaan dan kedua-dua mereka keluar lalu melarikan diri ke dalam kawasan belukar berhampiran,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Ahmad Mohsin memaklum, pemeriksaan di dalam kereta menjumpai empat paket plastik lutsinar berisi dadah dipercayai jenis syabu seberat 199.80 gram dan tiga paket plastik lutsinar lain berisi dadah jenis heroin seberat 898.10 gram.

Kesemuanya dianggarkan bernilai RM25,000.

Katanya, anggota unit MPV membawa balik kenderaan dinaiki suspek dan diserahkan ke pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau untuk tindakan selanjutnya.

“Susulan itu, gerakan mengesan suspek dilakukan dan salah seorang daripadanya telah ditahan namun rakan suspek masih diburu.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis opiate dan semakan rekod mendapati suspek mempunyai 10 rekod lampau kesalahan melibatkan dadah,” ujarnya lagi.

Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 17 Dis bagi membantu siasatan berkaitan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ahmad Mohsin turut memaklumkan, kali terakhir suspek mendapat bekalan dadah ialah tiga hari sebelum kejadian penahanan kenderaan.