SUNGAI PETANI: Menggunakan kaedah menjual dadah secara pandu lalu (drive-thru) adalah antara modus operandi seorang 'tokan' (pengedar) dadah bersama seorang 'runner' (pembantu) untuk menjual heroin serta syabu kepada penagih sekitar Kampung Benggali, dekat Sungai Petani.

Bagaimanapun, taktik terbabit terbongkar apabila mereka dicekup sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda yang menyerbu lokasi berkenaan, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman berkata, dalam Op Tapis Khas bermula jam 8 pagi itu, tokan berkenaan ditahan ketika sedang membungkus bekalan dadah dalam semak berhampiran kawasan lapang yang jauh dari kawasan kampung.

Ketika ditahan, dia juga didapati berada dalam keadaan khayal kerana turut menghisap dadah dalam semak berkenaan sementara menunggu 'runner' mengambil pesanan pelanggan.

Antara dadah yang dirampas dalam Op Tapis Khas di Sungai Petani hari ini. - Foto Astro AWANI

Menurut Anuar, hasil siasatan mendapati pelanggan terdiri daripada penagih tegar akan masuk ke kawasan terbabit dengan menunggang motosikal sebelum memesan dadah daripada seorang 'runner' sebelum beredar daripada lokasi terbabit selepas memperolehi dadah.

Dalam operasi berkenaan seramai 18 lelaki terdiri daripada pengedar serta penagih dadah berjaya ditahan dan berjaya merampas heroin seberat 48.20 gram yang dianggarkan bernilai RM1,687.

Dalam satu lagi serbuan di Taman Ria Jaya, polis turut berjaya menahan 18 penagih yang sedang menunggu bekalan dadah.

Dalam operasi berkenaan seramai 18 lelaki terdiri daripada pengedar serta penagih dadah berjaya ditahan. - Foto Astro AWANI

Katanya, turut ditahan seorang lelaki warga asing dipercayai tokan dan merampas heroin seberat 5.05 gram bernilai RM176.

Semua mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.