KENINGAU: Toleransi kaum dan agama yang diamalkan sejak sekian lama masyarakat berbilang latar belakang di Sabah merupakan model terbaik yang boleh dicontohi bagi menerapkan nilai Malaysia MADANI dalam kalangan rakyat di negara ini.

Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Sapawi Ahmad berkata penerimaan masyarakat Sabah dalam pelbagai bentuk hubungan menunjukkan tahap toleransi tinggi dalam kalangan mereka yang boleh dicontohi masyarakat dari seluruh negara.

"Kita dapat melihat hubungan itu melalui interaksi seharian yang berlaku dalam masyarakat Sabah dan bukannya bermusim mengikut sambutan perayaan. Selain itu, hubungan antara agama di Sabah juga sangat baik.

"Kelebihan yang kita ada di Sabah ini boleh kita gembeleng secara bersama bagi menjayakan konsep Malaysia MADANI digagaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya semasa berucap pada forum Malaysia MADANI di Dewan Masyarakat Keningau di sini pada Selasa.

Beliau berkata pembangunan insaniah dalam kalangan generasi muda juga harus diutamakan seiring dengan konsep Malaysia MADANI selain menitikberatkan penerapan nilai-nilai dan keindahan agama Islam.

Katanya Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor juga telah memberikan kepercayaan kepada USIA untuk menjalankan jerayawara bagi memberi penerangan mengenai konsep Malaysia MADANI di Sabah.

Malaysia MADANI bermatlamat untuk mengubah Malaysia menjadi negara yang lebih makmur dan maju berteraskan nilai MADANI melalui kepercayaan antara kerajaan dengan rakyat, dasar ketelusan dan kerjasama. - BERNAMA