Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memandang serius dan amat bimbang terhadap tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan pihak polis dalam menyerbu premis Persatuan Bible Malaysia (BSM) pada 2 Januari lalu.

Dalam kenyataan rasmi kepada media, SUHAKAM turut menyelar kaedah serbuan seperti yang dilaporkan, serta penangkapan Presiden BSM Lee Min Choon, dan pengurus Sinclair Wong pada hari sama.

Jelas Datuk Dr Khaw Lake Tee selaku Naib Pengerusi SUHAKAM, “Adalah amat penting bagi pihak berkuasa dalam menjalankan tugas mereka, melaksanakan kuasa dan budi bicara mereka mengikut undang-undang dan sejajar dengan prinsip-prinsip hak kepada perbicaraan yang adil dan hak untuk mendapat perlindungan sama rata di sisi undang-undang sepertimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).”

SUHAKAM turut menyeru pihak berkuasa untuk menghormati dan memastikan hak semua rakyat kepada kebebasan beragama, termasuk hak semua komuniti untuk menganut dan mengamalkan agama mereka secara bebas, seperti yang dijamin di bawah Perkara 11 dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 18 dalam UDHR.

Tambah Naib Pengerusi SUHAKAM lagi, “Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai pelbagai budaya dan agama. SUHAKAM berpandangan bahawa adalah penting bagi rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat untuk menunjukkan tahap toleransi agama dan rasa hormat yang lebih tinggi di dalam menangani isu agama dan kebudayaan.”