MALAYSIA
"Tolong jangan cemari sungai ini... kelah anugerah Allah ada di sini"

Azman berkata, FMC Kelah Eko Park diakui oleh agensi berkaitan sebagai satu-satunya kawasan santuari yang mempunyai puluhan ribu ikan kelah di Kelantan setakat ini. - Foto Astro AWANI
KUALA KRAI: "Tolong jangan cemari sungai kami kerana ikan kelah yang entah datang dari mana sedang bermain di sini."
Demikian luahan rasa Azman Mustafa, pemilik pusat santuari FMC Kelah Ecopark, yang terletak di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Batu Mengkebang, di sini.
Menurut Azman, ikan kelah dari spesis kejal yang sedap dimakan dan mahal harganya itu ditemui kira-kira lima tahun lalu sewaktu beliau membuka kawasan hutan simpan untuk dijadikan pusat eko pelancongan.
Kawasan dengan keluasan lebih 20 ekar ini dikelilingi hutan dan bukit bukau serta air terjun yang mempesonakan.
Aliran air terjun di puncak bukit yang memasuki kawasan pusat santuari ini menyimpan khazanah berharga iaitu ikan kelah.
Berkongsi kisah dengan Astro AWANI, Azman berkata, anak sungai dari air terjun di kawasan tadahan air di atas bukit itu pada mulanya dipenuhi anak-anak ikan serta ikan bersaiz 500g hingga 1kg, dari pelbagai spesis seperti sebarau, tengas, seluang, baung dan sebagainya.
Namun, selepas banjir serta kejadian air keroh akibat aktiviti pembukaan kawasan tanah berhampiran tiga tahun lalu, kesemua spesis ikan berkenaan hilang dan kini hanya tinggal ikan kelah kejal.
"Saya hairan, ke mana perginya kesemua spesis ikan berkenaan? Hanya tinggal anak kelah kejal sahaja di sepanjang sungai berhampiran kawasan tanah ini.
"Ia seolah-olah satu anugerah dari Allah kerana anak-anak ikan ini bukan sedikit, sebaliknya melebihi puluhan ribu ekor. bermain di sungai ini," katanya ketika ditemui di FMC Eko Park baru-baru ini.
"Saya mulai memberi makan dedak, perut ayam dan buah sawit kepada anak-anak ikan ini, sehingga mereka membesar melebihi satu kilogram.
"Ikan kelah spesis kejal yang berada di sungai ini terlalu jinak dengan manusia. Saya memberi makan ikan-ikan ini di tangan. Ikan-ikan ini akan mengelilingi saya apabila saya berada di dalam air," ceritanya.
Apabila Azman melintas sungai, katanya, ikan-ikan itu akan datang mengerumuninya dan menurutnya, sesuatu yang unik ialah, ikan-ikan itu boleh dipanggil dengan cara menepuk tangan atau mengetuk tin.
"Saya membelanjakan kira kira RM3,000 sebulan untuk membeli makanan ikan yang jumlahnya cukup banyak sehingga tidak terhitung.
"Saya masih tertanya-tanya mengapa sungai saya ini dipenuhi ikan kelah sahaja dan dari mana datangnya ikan kelah sebanyak ini?
"Sungai ini dipanggil Sungai Koh dengan jaraknya sejauh 3km dari air terjun sehingga ke muara sungai di luar," tambahnya.

Foto Astro AWANI
Menurut Azman, pelbagai pihak termasuk Universiti Malaysia Kelantan, Jabatan Perikanan dan agensi kerajaan telah berkunjung ke tempatnya bagi melihat ikan kelah tersebut.
"Pihak pengkaji dari universiti dan Jabatan Perikanan turut merasa hairan bagaimana ikan kelah tersebut boleh berada dalam sungai cetek dengan kuantiti yang banyak.
"Ikan kelah ini sangat jinak dengan manusia. Apabila kita berada di dalam air, ikan ini akan berada di sekelling kita.
"Apabila kita rendam kaki, ikan-ikan ini akan mengigit kulit kaki yang mati, umpama memberi terapi ketenangan kepada kita.
"Untuk itu, saya amat berharap aliran sungai ini tidak tercemar dengan aktiviti pembukaan kawasan hutan atau projek tanaman semula hutan yang boleh mengakibatkan air keroh dan berkelodak," katanya.
Azman berkata, ikan kelah cukup sensitif dengan air tercemar yang boleh menyebabkan ia mati akibat kekurangan oksigen dan sebagainya.
"Kawasan sungai ini memang saya jaga 24 jam bagi menghindari dari sebarang aktiviti menuba atau menangkap ikan menggunakan arus elektrik," tambahnya.
Beliau merayu agar pihak berkuasa tidak membuka tanah atau melakukan aktiviti penebangan di hutan berhampiran air terjun tersebut kerana ia boleh mengundang kepada pencemaran air.
"Ikan kelah kejal ini merupakan anugerah Allah untuk kami di sini dan menjadi tarikan kepada pengunjung.
"Saya akan terus menjaganya walaupun terpaksa berhabisan duit untuk memelihara spesis alam yang tidak ternilai ini," katanya lagi.

Foto Astro AWANI
Azman berkata, beliau bersama lima pekerjanya membuka kawasan hutan simpan ini sebagai pusat pelancongan pada mulanya dengan mendirikan wakaf, bangsal dan membina kolam ikan untuk memelihara ikan sungai seperti ikan kerai, talapia, koi, jelawat dan sebarau.
Bagaimanapun, kehadiran ikan kelah kejal telah memberi satu nilai tambah kepada pusat pelancongannya walaupun berada di tengah hutan dan hanya boleh dimasuki dengan kenderaan pacuan empat roda.
FMC Kelah Eko Park terletak kira-kira 15km dari jalan utama iaitu Jalan Kuala Krai-Kota Bharu.
Azman mendakwa, FMC Kelah Eko Park miliknya diakui oleh agensi berkaitan sebagai satu-satunya kawasan santuari yang mempunyai puluhan ribu ikan kelah di Kelantan setakat ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami