KUALA LUMPUR: Pelaksanaan total lockdown bukan satu penyelesaian kepada masalah jangkitan COVID-19 yang terus meningkat di negeri itu sejak kebelakangan ini.

Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia sekadar satu kaedah yang boleh dipertimbangkan namun bukan satu-satunya jalan keluar kepada peningkatan kes positif ketika ini.

Tegas Masidi, hal ini kerana virus COVID-19 kini sudah berada dalam komuniti dan ia semakin mudah menjangkiti dan dijangkiti.

"Apabila virus sudah berada dalam komuniti, total lockdown bukan lagi kaedah yang berkesan untuk mengekang penularan ini.

“Setiap daripada kita berkemungkinan sudah menjadi pembawa virus tidak kira sama ada sudah divaksin atau sebaliknya dan kita boleh menjangkiti orang sekeliling walaupun negara ketika ini masih berada di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebelum ini total lockdown adalah kaedah yang berkesan kerana jangkitan berlaku dalam kawasan yang terhad, namun kini virus sudah berada dalam komuniti,” katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.



Masidi menambah, menerusi saringan secara besar-besaran yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) membuktikan saringan kontak rapat menyumbang kepada kes positif tertinggi di negeri itu.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, ia selepas 60 peratus daripada kes positif yang dilaporkan pada Jumaat dikesan menerusi kumpulan tersebut.

“Kontak rapat ini pula ada jaringan kawan-kawan mereka sendiri (circle of friends). Mereka mungkin telah menjangkiti kawan-kawan mereka yang lain juga.

"Ini mengakibatkan bilangan kes harian berganda, iaitu kesan ‘multiplier effect’. Hasilnya bilangan positif baharu semakin meningkat kerana semakin luas medan saringan yang dibuat oleh JKNS," tambahnya lagi.

Tambah Masidi, pendekatan total lockdown atau PKPD secara berterusan hampir melumpuhkan ekonomi negeri hingga menyebabkan banyak syarikat gulung tikar atau rugi besar dan ramai penduduk hilang punca pendapatan serta bergantung kepada bantuan kerajaan.

“Mereka mahu berkerja semula untuk menyara keluarga mereka. Kemampuan kerajaan untuk terus memberi bantuan dan subsidi sudah terhad. Kita perlu mengimbangi hidup dan kehidupan dan ini tidak boleh dibuat dengan pendekatan lockdown atau PKPD semata mata,” katanya.



Selain itu, ujarnya, kunci utama melawan pandemik ini adalah menerusi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang berterusan selain meningkatkan kadar vaksinasi.

Ini kerana, pematuhan SOP secara berdisiplin boleh membantu mengelak seseorang daripada dijangkiti COVID-19 manakala vaksin pula berupaya menghindari seseorang daripada mengalami gejala atau kesan yang teruk sekiranya dijangkiti.

Justeru, kata Masidi, bekalan vaksin yang mencukupi perlu diberikan kepada Sabah selain jadual penghantarannya juga mestilah konsisten tanpa sebarang gangguan.

“Kapasiti JKNS untuk memberi vaksin sudah sampai ke tahap 50,000 dos sehari dan akan dipertingkatkan lagi hingga ke 60,000 dos sehari bergantung kepada stok vaksin kita.

“Apa yg perlu ialah bekalan vaksin yang cukup dan jadual penghantaran ke Sabah yang tidak terganggu,’’ tambahnya.