GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Aring 5, di sini, mengambil inisiatif sendiri melakukan sekatan bagi menghalang orang luar keluar dan masuk dengan bebas ke kampung mereka.

Langkah sepakat membina besi penghadang jalan dan pondok keselamatan itu seiring tindakan kerajaan menguatkuasakan 'total lockdown' di seluruh negara bagi membendung penularan COVID-19.

Penghulu kampung itu, Raina Anjang berkata, penduduk kampung bergotong-royong membina besi penghadang dan pondok keselamatan itu.

Katanya, mereka turut menyediakan pengimbas suhu, buku pendaftaran dan pensanitasi tangan dalam usaha melindungi penduduk kampung daripada risiko penularan virus.

"Kita bimbang kerana bilangan kes yang semakin meningkat dari semasa ke semasa, justeru kita perlu lakukan sesuatu untuk menghalang orang luar bebas keluar masuk ke kampung ini.

"Kita harap, dengan cara ini tiada orang luar yang masuk ke kampung ini tanpa sebab yang munasabah, lebih-lebih lagi sekatan pergerakan penuh sudah dikuatkuasakan kerajaan," katanya di sini, hari ini.

Katanya, setiap hari, penduduk akan mengambil giliran bertugas menjaga sekatan jalan berkenaan, sambil mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Beliau berharap, tindakan itu dapat melindungi 400 penduduk kampung berkenaan daripada COVID-19.