KUALA LUMPUR: Menara Kuala Lumpur memperkenalkan 'Tower Walk 100' sebagai tarikan terbaharu sempena ulang tahun ke-25 ikon menara tersebut dengan pengunjung berpeluang berjalan 360 darjah mengelilingi pelantar sambil menikmati panaroma bandar raya Kuala Lumpur dari ketinggian 100 kaki.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Ainol Shaharina Sahar berkata tarikan terbaharu itu terletak di tingkat T02 tiang menara dan telah dibuka kepada pengunjung bermula 27 Nov lepas.

"Pengunjung akan dilengkapi dengan pemakaian peralatan abah-abah bagi tujuan keselamatan dan harga istimewa turut diberikan kepada warga Malaysia iaitu RM35 untuk dewasa dan RM25 untuk kanak-kanak," katanya pada majlis perasmian Tower Walk 100 dan sambutan ulang tahun Menara Kuala Lumpur ke-25 yang disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri di sini, hari ini.

Sementara itu, menurut Ainol Shaharina Menara Kuala Lumpur juga sedang mengadakan promosi Jualan Akhir Tahun dengan setiap pembelian satu tiket dewasa akan mendapat dua tiket percuma bagi kanak-kanak pada hari biasa sehingga 31 Dis ini.

Beliau berkata pihaknya turut melakukan sanitasi penuh serta pembersihan secara berkala setiap hari di seluruh kawasan premis Menara Kuala Lumpur mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

-- BERNAMA