Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor dan Parlimen Teluk Intan akan ditentukan pengerusinya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara tersebut akan dibincangkan terlebih dahulu dalam mensyuarat melibatkan pucuk pimpinan tertinggi gabungan tersebut dalam masa terdekat.

Muhyiddin Yassin mengulas kemungkinan BN tidak bertanding di dua kerusi itu kerana peluang untuk menang dikatakan tipis.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program pemerkasaan ekonomi melayu dan bumiputera menerusi keusahawanan di pekarangan Pusat Bimbingan Usahawan Pagoh.

Kelmarin Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, PRK Parlimen Teluk Intan berkemungkinan boleh diadakan serentak dengan PRK Parlimen Bukit Gelugor pada 25 Mei ini namun pelbagai faktor perlu dipertimbangkan sebelum keputusan itu dibuat.

Menurut Abdul Aziz, SPR perlu menunggu notis kekosongan kerusi tersebut ekoran kematian penyandangnya, Seah Leong Peng daripada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebelum boleh mengadakan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.

Muhyiddin Yassin berkata , parti komponen BN yang akan bertanding di dua kerusi tersebut dijangka dikekalkan iaitu MCA di Parlimen Bukit Gelugor dan GERAKAN di Parlimen Teluk Intan.

Jelasnya, sudah menjadi prinsip BN kerusi yang sejak dahulu menjadi tradisi MCA atau GERAKAN akan dikekalkan melainkan terdapat sebab-sebab tertentu dan perkara itu biasanya dibuat dalam pilihan raya umum.

Ditanya adakah BN tidak meletakkan calon bukan MCA disebabkan prestasi buruknya sebelum ini, beliau berkata, pendirian tersebut tidak berubah bagi menghormati parti berkenaan kerana sudah lama mewakili BN di kawasan itu.

Bagaimanapun, semua itu akan ditentukan Perdana Menteri dan sehingga kini beliau masih belum menerima nama-nama untuk mewakili MCA yang dikatakan sudah menyenarai pendek tiga calonnya.