SEPANG: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow tiba di Malaysia malam ini untuk lawatan kerja dua hari yang berakhir esok.
Pesawat komersial yang membawa Sihasak dan delegasinya mendarat di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 8.40 malam.
Ketibaan Sihasak, yang diiringi para pegawai kanan Kerajaan Thailand, disambut oleh Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan Datuk Rozainor Ramli.
Semalam, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau akan bertemu Sihasak di Kuala Lumpur esok bagi membincangkan usaha meningkatkan keselamatan di selatan Thailand serta isu-isu membabitkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand.
Beliau berkata Malaysia telah diberi penghormatan oleh Thailand untuk menjadi orang tengah dalam rundingan dengan pihak-pihak yang terlibat bagi membantu usaha damai di wilayah itu.
Mohamad berkata mereka juga akan membincangkan pendekatan terbaik bagi memastikan usaha damai di selatan Thailand boleh dilaksanakan dengan berkesan.
Terdahulu, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan lawatan itu adalah sebahagian daripada pertukaran lawatan peringkat tinggi secara berkala antara Malaysia dan Thailand sekali gus mencerminkan hubungan erat, berkekalan serta pelbagai dimensi antara kedua-dua negara jiran yang rapat serta sesama negara anggota ASEAN.
Menurut kenyataan itu, lawatan tersebut turut mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk mengekalkan rundingan yang erat dan memperkukuh kerjasama yang saling menguntungkan dalam pelbagai bidang.
Pada 2025, Thailand adalah rakan perdagangan keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan nilai dagangan mencecah RM118.57 bilion (AS$27.73 bilion).
Bagi tempoh Januari hingga Julai 2026, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Thailand mencecah RM85.01 bilion (AS$21.13 bilion) berbanding RM66.95 bilion (AS$16.64 bilion) pada 2025 sekali gus mencerminkan pertumbuhan kukuh serta potensi hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.
-- BERNAMA