MALAYSIA
Trafik penumpang udara Malaysia cecah 9.3 juta pada Julai, hampir paras prapandemik - CAAM

Sektor penerbangan negara disifatkan kekal berdaya tahan dan berada pada landasan kukuh untuk mencapai pemulihan sepenuhnya. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Sektor penerbangan negara kekal berada di landasan kukuh ke arah pemulihan sepenuhnya dengan jumlah trafik penumpang bulanan mencecah 9.3 juta pada Julai 2025, menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Ringkasan AI
- Jumlah trafik penumpang mencecah 9.3 juta, meningkat 3.9 peratus berbanding Jun dan 5.3 peratus berbanding Julai 2024, didorong oleh permintaan antarabangsa, pengecualian visa, serta laluan baharu seperti Kota Kinabalu-Daegu dan Subang-Bangkok.
- Trafik penumpang antarabangsa hampir menyamai paras prapandemik dengan 4.7 juta penumpang, manakala trafik domestik menurun sedikit bulan ke bulan tetapi meningkat 7.4 peratus tahun ke tahun.
- Lapangan terbang utama seperti KLIA, Senai, Kota Kinabalu dan Langkawi mencatatkan pertumbuhan positif, manakala pergerakan kargo udara meningkat 11.4 peratus bulan ke bulan tetapi menurun 2.8 peratus tahun ke tahun akibat normalisasi penghantaran.
"Prestasi ini dipacu oleh permintaan antarabangsa yang teguh, kesalinghubungan strategik serta inisiatif kerajaan yang mempertingkatkan kemudahan perjalanan.
"Trajektori positif ini turut diperkuatkan melalui rasionalisasi fungsi ekonomi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) di bawah CAAM, yang mewujudkan kerangka kawal selia penerbangan awam negara yang lebih mantap dan bersepadu," katanya dalam kenyataan yang sama.
Beliau berkata langkah itu mencerminkan komitmen CAAM untuk mengekalkan pertumbuhan dan daya tahan sektor penerbangan Malaysia di samping mendukung amalan terbaik global, kecemerlangan kawal selia dan menggalakkan inovasi melalui kerjasama strategik.
Menurut CAAM bagi tempoh antara Januari hingga Julai tahun ini, sektor penerbangan Malaysia merekodkan 61.2 juta penumpang keseluruhannya untuk mencapai unjuran tahunan antara 105.8 hingga 112.9 juta penumpang.
Trafik penumpang antarabangsa terus mengatasi permintaan domestik, mencerminkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan global.
Pada Julai, trafik penumpang antarabangsa meningkat sebanyak 9.6 peratus bulan ke bulan dan 3.4 peratus berdasarkan tahun ke tahun, dengan jumlah penumpang sebanyak 4.7 juta, hampir menyamai angka prapandemik atau 98.7 peratus daripada paras Julai 2019.
"Faktor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan ini, termasuk peningkatan kapasiti tempat duduk bagi laluan domestik dan antarabangsa, pengecualian visa 30 hari untuk pelancong dari pasaran utama seperti China dan India, serta pengenalan laluan baharu antaranya penerbangan terus dari Kota Kinabalu ke Daegu (Korea Selatan), Subang ke Bangkok (Thailand) dan Kuala Lumpur ke Palembang (Indonesia).
"Dari segi agihan penumpang, penerbangan antara Malaysia dan negara ASEAN mencatatkan 2.2 juta penumpang, manakala laluan antara Malaysia dan negara bukan ASEAN merekodkan pertumbuhan lebih kukuh dengan kenaikan sebanyak 13.3 peratus bulan ke bulan dan 9.6 peratus tahun ke tahun kepada 2.5 juta penumpang," menurut CAAM.
Trafik penumpang domestik mengalami penurunan kecil sebanyak 1.3 peratus bulan ke bulan disebabkan cuti umum dan cuti sekolah yang berlaku pada Jun berbanding Julai namun meningkat 7.4 peratus tahun ke tahun dan mencapai 94.8 peratus berbanding paras Julai 2019.
CAAM menjelaskan lapangan terbang utama di seluruh Malaysia turut merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun yang positif bagi Julai 2025 dengan Lapangan Terbang Antarabangsa KL Terminal 1 dan 2 (KUL) mencatatkan pertumbuhan 4.4 peratus dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (JHB) merekodkan kadar tertinggi sebanyak 9.7 peratus.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) masing-masing mencatatkan pertumbuhan 7.2 peratus dan 6.6 peratus.
"Selain itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) merekodkan pertumbuhan 4.0 peratus, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KCH) meningkat sebanyak 0.2 peratus," tambahnya.
Pergerakan kargo udara turut menunjukkan peningkatan 11.4 peratus kepada 83.5 juta kilogram pada Julai berbanding Jun 2025 namun perbandingan tahun ke tahun mengalami sedikit penurunan sebanyak 2.8 peratus kepada 93.0 juta kilogram daripada 95.7 juta kilogram pada Julai 2024.
"Penurunan ini disebabkan oleh normalisasi corak penghantaran apabila aktiviti pemuatan hadapan mula berkurangan pada Jun dan Julai susulan jangkaan pelaksanaan tarif," jelas CAAM.
Bagi prestasi pada suku kedua 2025, CAAM memaklumkan trafik penumpang udara Malaysia meneruskan trend peningkatan, dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 10.5 peratus kepada 26.5 juta penumpang, atau menghampiri 99.3 peratuts daripada paras prapandemik 2019.
Trafik penumpang antarabangsa mencecah 12.9 juta, meningkat 6.5 peratus tahun ke tahun manakala perjalanan domestik pula menunjukkan pertumbuhan kukuh dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 14.7 peratus tahun ke tahun dan 11.8 peratuts suku ke suku kepada 13.7 juta penumpang, iaitu 99.6 peratus daripada paras prapandemik.
Menurut CAAM, jumlah trafik kargo udara meningkat 4.4 peratus tahun ke tahun kepada 272.9 juta kilogram, disokong oleh peningkatan 3.8 peratus dalam kargo antarabangsa yang berjumlah 202.9 juta kilogram manakala kargo domestik susut 1.2 peratus kepada 60.8 juta kilogram.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami