KOTA KINABALU: Jenazah Allahyarham Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacub selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 2.15 petang hari ini.

Turut bersama-sama menyambut ketibaan Allahyarham di KKIA ialah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin, Datuk Ghulam Khaidar Khan Bahadar dan Datuk Seri Anifah Aman.

Jenazah akan dibawa ke rumah keluarganya di Kampung Benoni Papar sebelum disolatkan di Masjid Jamek As Salam Benoni dan seterusnya ke proses pengebumian dijalankan di tanah perkuburan Islam Kampung Benoni.

Jenazah yang disambut oleh pasukan pengusung Jenazah Angkatan Pertahanan Awam (APM) di KKIA itu telah disolatkan dan diberi penghormatan terakhir setibanya di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.30 pagi tadi.

Turut menyertai sesi penghormatan terakhir itu ialah Raja Muda Kedah Tengku Sarafuddin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Allahyarham Awang Askandar yang juga Pengarah Pertahanan Awam (APM) Kedah meninggal dunia pada Jumaat lalu selepas berdepan masalah kesihatan pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut.

Ketika itu, Allahyarham hanya memerlukan kira-kira 20 minit lagi untuk sampai ke puncak Everest.

Allahyarham ketika itu bersama seorang lagi pendaki negara Muhammad Hawari Hashim, 33, yang merupakan seorang Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran.

Muhammad Hawari dilaporkan hilang setelah berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu dan usaha mencarinya masih dijalankan.