KUCHING:Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur Sarawak, Datuk Julaihi Narawi memohon orang ramai agar tidak menyebarkan gambar atau video mangsa tragedi kenderaan terjunam ke dalam sungai di Sungai Batang Lupar, pada Jumaat.

Jelasnya, ia bagi menghormati keluarga mangsa dalam tragedi yang mengorbankan sembilan sekeluarga di Pengkalan Feri Triso.

"Saya merayu dan memohon orang ramai (agar) tidak menyebarkan gambar atau video mangsa (di media sosial) bagi menghormati keluarga mangsa," kata Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sebuyau di mana kejadian itu berlaku.

Julaihi dalam satu kenyataan yang diterima pagi ini, turut menyatakan kesedihannya dengan tragedi itu yang telah mengorbankan semua mangsa selepas kenderaan 4WD itu dipercayai hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam sungai.

Dalam kenyataan itu, Julaihi turut mengesahkan beliau akan mengiringi Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing melawat lokasi kejadian itu hari ini.

Lawatan itu turut disertai pegawai kanan dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak.

Kenderaan malang jenis 4WD jenis Ford Ranger itu dipandu seorang wanita, Ronany Ting, 33, yang dikatakan dalam perjalanan dari Kapit menuju ke Kuching menggunakan Jalan Beladin-Meludam sebelum kejadian kira-kira 3 petang.

Baca: Tragedi Feri Triso: Sembilan maut kenderaan pacuan empat roda terjunam ke sungai

Baca: Tragedi Triso: Kenderaan hilang kawalan sebelum jatuh ke sungai - Polis

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dijangka akan ke Sri Aman di mana kesemua mangsa dikatakan akan menjalani bedah siasat di hospital di sana.

Menurut seorang daripada pegawainya, Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit dimaklumkan enam daripada mangsa itu dijangka akan dikebumikan di Sri Aman.

Baca: Tragedi Feri Triso: Lima van jenazah digerakkan ke Sri Aman