KUCHING:“Saya berjanji nak hadiahkan al-Quran baharu kerana al-Quran Shuhada sudah koyak dan usang," luah Fera Indah Febriyani, tenaga pengajar di Madrasah Tarbiyatul Islamiyah Lil Banat Attoyibah, Samariang, Kuching.

Impian Fera Indah itu tidak kesampaian apabila Shuhada Mohamad Hamzah, 16, dan adiknya Khairunnisa Mohamad Hamzah, 14, bersama lima lagi ahli keluarga mereka meninggal dunia dalam tragedi kereta terjunam ke sungai Batang Lupar dekat Sebuyau pada Jumaat lalu.

Perasaan ralat sudah pasti menghantui Fera Indah yang telah bersama-sama kedua-dua mangsa selama tiga tahun mereka menjalani pengajian agama dan tahfiz di madrasah tersebut.

Mengimbau kembali momen-momen indah sepanjang mengajar dan membimbing mereka, akui Fera Indah kedua-dua mereka mempunyai perwatakan menyenangkan, tertib dan tidak bermasalah.

Malah, katanya, mereka juga telah menghafaz lapan juzuk al-Quran dalam tempoh dua tahun.

"Alhamdulillah, kedua-dua mereka berjaya menghafaz masing-masing lapan dan lima juzuk al-Quran dalam tempoh dua tahun dan mereka menghafaz dengan cepat sekali," jelasnya ketika ditemui Astro AWANI.

Menceritakan lanjut, Fera Indah berkata, kesemua pelajar di madrasah itu baru sahaja selesai menjalani ujian akhir penggal kedua.

Sementara, dia tidak sempat menyampaikan khabar gembira kepada allahyarham Khairunnisa yang memperoleh kedudukan pertama daripada 19 pelajar kelas 1.

"Khairunnisa mendapat kedudukan pertama dan keputusan yang memberangsangkan manakala Shuhada pula mendapat kedudukan keenam," tambahnya.

Kehilangan dua insan turut dirasai salah seorang sahabat karib mereka, Nur Azizah Buang, 21.

Allayarham Shuhada dan Khairunnisa merupakan juga pintar dalam pelajaran sementelah menjadi ketua kumpulan ketika sesi mengulang kaji.

"Mereka adalah ketua kumpulan kami ketika belajar. Kami sentiasa merujuk subjek tertentu kepada Khairunnisa manakala Shuhada pula untuk teknik hafazan," ujarnya.

Dibuka pada 1 April 2016, madrasah yang bekerjasama dengan Pondok Pesantren Al-Fatah Temboro, Magetan Jawa Timur Indonesia dan telah diiktiraf oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).