NATIONAL
Tragedi kemalangan berdarah FRU berulang setelah 35 tahun

Gambar tragedi kemalangan menyayatkan hati melibatkan 11 anggota FRU maut di Lebuh Raya Karak pada 28 Februari 1990. -Sinar Harian
TELUK INTAN: Selepas lebih tiga dekad, negara sekali lagi dikejutkan dengan insiden menyayat hati membabitkan kemalangan maut melibatkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), yang menggamit semula ingatan terhadap tragedi hitam di Lebuhraya Karak pada tahun 1990.
Ringkasan AI
- Sepuluh anggota FRU maut dalam kemalangan melibatkan lori muatan batu ketika pulang dari operasi di Teluk Intan, mengingatkan semula tragedi Karak 1990 yang turut meragut nyawa anggota FRU.
- Tragedi Karak pada 1990 melibatkan rempuhan bas ekspres dan lori tangki yang menyebabkan 15 kematian, termasuk 11 anggota FRU, dan menjadi titik hitam dalam sejarah keselamatan pasukan keselamatan.
- Insiden berulang ini mencetuskan gesaan agar SOP keselamatan pengangkutan anggota keselamatan disemak semula, termasuk aspek kenderaan, laluan, dan latihan pemanduan defensif.
Insiden tragis ini secara tidak langsung membuka semula lembaran duka tragedi di Lebuhraya Karak pada 28 Februari 1990 yang telah meragut 11 nyawa anggota FRU daripada Trup 4B, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur.
Ketika itu, trak yang membawa anggota terbabit dirempuh oleh sebuah bas ekspres yang hilang kawalan akibat kegagalan sistem brek ketika menuruni cerun.
Nahas tersebut mengorbankan 15 nyawa, termasuk empat orang awam.
Siasatan mendapati rempuhan kuat menyebabkan trak FRU terperosok di bawah bas sebelum dihentam pula oleh sebuah lori tangki minyak yang cuba mengelak perlanggaran.
Lima anggota FRU maut di lokasi kejadian, manakala enam lagi meninggal dunia di hospital ketika menerima rawatan.
Nama-nama mereka kekal terpahat dalam sejarah sebagai wira negara yang gugur dalam perkhidmatan.
Insiden yang berulang ini mengundang persoalan mengenai tahap keselamatan pengangkutan anggota keselamatan negara, khususnya ketika pergerakan dalam kumpulan besar.
Pihak berkuasa disaran menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) pergerakan kenderaan pasukan keselamatan, termasuk pemeriksaan kondisi kenderaan, pemilihan laluan berisiko tinggi, dan aspek latihan pemanduan defensif.
Dalam pada itu, masyarakat diseru agar mendoakan keselamatan dan ketabahan keluarga mangsa yang terkorban demi tanah air.
“Tragedi mungkin tidak dapat dielakkan, tetapi pengajaran daripadanya wajib diambil kira agar nyawa tidak terus menjadi korban di jalan raya.” -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami