KUALA LUMPUR: Laporan kajian Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) berkenaan tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights akan dikeluarkan Selasa.

Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, ketika ini, kerja-kerja siasatan dan kajian tanah masih dijalankan JMG di lokasi kejadian.

"Tanggungjawab untuk membuat kajian tanah sedang dijalankan JMG dan tujuan kajian dalam tempoh tiga hari bermula kelmarin (Jumaat).

"JMG akan keluarkan hasil kajian yang akan jadi panduan jabatan lain untuk ambil tindakan selanjutnya contohnya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membuat penahan daripada runtuhan tebing (sementara) Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) (ambil tindakan) supaya kejadian seumpama ini tidak berlaku masa datang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepasa mengadakan lawatan di lokasi tanah runtuh Jalan Kemensah Heights pada Ahad.

BACA: 19 rumah teres dua tingkat terjejas tanah runtuh - Bomba

BACA: Tragedi Kemensah Heights: RM1 juta diperlukan bina kepingan besi - Azmin Ali

BACA: Tanah runtuh Kemensah Heights: Kerajaan Selangor salur bantuan khas RM500

Tambah Takiyuddin, selepas laporan kajian dikemukakan, agensi berkaitan boleh memohon peruntukan daripada kerajaan Persekutuan dan Selangor untuk tindakan susulan.

Beliau turut memberi jaminan langkah pencegahan akan turut diadakan di sekitar kawasan kejadian termasuk perumahan bandar berhampiran.

"Saya beri jaminan langkah pencegahan bukan sahaja dibuat di sana (kawasan kejadian) tetapi di perumahan bandar ini juga,” katanya lagi.

Pada Jumaat malam, sebanyak 19 rumah teres dua tingkat membabitkan 28 keluarga terjejas akibat insiden tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, aliran air bawah tanah berkenaan menyebabkan struktur tanah menggelongsor sehingga menyekat aliran sungai di bawah bukit daripada terus mengalir.