KUALA LUMPUR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan menjalankan kerja-kerja menstabilkan cerun Sungai Kemensah yang menelan peruntukan RM10 juta.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, projek itu termasuk pembesaran kawasan sungai terbabit bagi mengelak kejadian tanah runtuh berlaku di masa depan.

"Kestabilan jangka panjang, JPS telah merangka Pelan Kestabilan Jangka Panjang yang menelan kos RM10 juta memastikan insiden ini tidak akan berulang masa depan,” kata beliau dalam sidang media selepas mengadakan tinjauan di kawasan tanah runtuh Kemensah Heights di sini pada Ahad.



[LANGSUNG] Sidang Media Menteri Alam Sekitar dan Air | 19 Sept 2021

Sementara itu, Tuan Ibrahim menegaskan, adalah menjadi keperluan bagi semua pihak untuk mengambil kira pematuhan undang-undang sebelum melaksanakan sesuatu penambahan pada struktur bangunan.

Tegas beliau, aspek perundangan sudah jelas tertulis khususnya bagi projek pembinaan di kawasan yang memiliki kecerunan.

"Saya ingin menarik perhatian semua terhadap peraturan-peraturan di bawah akta… kita ada kawasan kecerunan, nak bina bangunan perlu mematuhi kecerunan lebih 25 hingga 35 darjah perlu mendapat kelulusan dan kajian terperinci oleh EIA (Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling).

"Walaupun (pembinaan) sebuah rumah kalau kecerunan 25 hingga 35 darjah perlu kelulusan EIA sebab kesannya seperti beginilah (tanah runtuh) (jika tiada kelulusan)," jelas Tuan Ibrahim.

Dalam masa sama, beliau berkata, JPS ketika ini sedang menjalankan kerja-kerja pemasangan  kepingan besi (sheet Pile) sepanjang 250 meter di kawasan runtuhan bagi memastikan kestabilan cerun.

JPS juga, kata Tuan Ibrahim, sentiasa memantau kawasan-kawasan panas dengan lebih rapi sekiranya terdapat tanda-tanda awal akan berlaku tanah runtuh.

Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kemensah Heights pada Jumaat malam menjejaskan 19 buah rumah.

Kesemua 28 keluarga di penempatan itu telah diarahkan mengosongkan kediaman dan dipindahkan ke dewan orang ramai berhampiran.

Sehubungan itu, kerajaan Persekutuan dan negeri Selangor menghulurkan bantuan awal dalam membantu keluarga yang terjejas.