awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
JKNNS siasat dakwaan pekerja kedai makan basuh lebihan makanan untuk dijual semula
Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS, mata wang negara serantau
64,295 pelawat Singapura masuki Sarawak pada 2025, catat jumlah tertinggi
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Tragedi murid Orang Asli SK Tohoi: Kementerian Pendidikan ambil tindakan segera

Bernama
Bernama
10/10/2015
12:39 MYT
Tragedi murid Orang Asli SK Tohoi: Kementerian Pendidikan ambil tindakan segera
Menurut Khair (gambar) jawatankuasa itu akan dipengerusikan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan). - Gambar Fail
Susulan tragedi yang menimpa tujuh murid Orang Asli di Gua Musang, Kementerian Pendidikan akan mewujudkan jawatankuasa khas untuk meneliti beberapa aspek melibatkan anak Orang Asli yang tinggal di asrama kelolaan kementerian itu.
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof berkata jawatankuasa itu akan melibatkan pelbagai pihak dan agensi yang akan mengkaji serta meneliti aspek kemajuan, keselamatan, kebajikan dan kesihatan.
Katanya jawatankuasa itu akan dipengerusikan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan).
"Jawatankuasa ini akan segera dibentuk dan diberi masa tiga bulan bermula pertengahan Oktober 2015 bagi menyedia dan mengemukakan syor penambahbaikan berkaitan aspek tersebut kepada kementerian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
KRONOLOGI: Misteri 7 pelajar Orang Asli hilang di Pos Tohoi, Gua Musang
INFOGRAFIK: Misteri 7 pelajar Orang Asli hilang di Pos Tohoi
BACA: Polis tunggu masa dapatkan 'rahsia' murid Orang Asli mampu bertahan 48 hari
Katanya selain itu, pihaknya juga akan mengadakan latihan khusus berkaitan budaya dan cara hidup masyarakat Orang Asli secara berperingkat kepada guru yang mengajar di sekolah Orang Asli.
"Ini termasuk pendekatan yang sesuai dalam usaha memenangi pemikiran ke arah kemajuan dalam bidang pendidikan," katanya.
Khair juga berkata kumpulan guru pakar dalam bidang kaunseling dan psikologi telah diarah turun padang membantu rakan murid terlibat, guru dan ibu bapa mangsa bagi membolehkan mereka menangani trauma di samping menenangkan perasaan mereka.
Katanya kementerian berasa amat sedih dengan tragedi yang menimpa murid terbabit, ditambah pula dengan penemuan mereka dalam keadaan yang sangat menyayat hati.
"Kementerian mengambil kesempatan ini mengucapkan takziah kepada ibu bapa dan keluarga murid yang terlibat serta berdoa supaya mereka yang belum ditemui berada dalam keadaan selamat," katanya.
Khair berkata kementerian amat memandang serius tragedi itu dan mahu punca kejadian diteliti secara objektif dan meyakinkan, memandangkan ia berlaku ketika masih berada dalam kawalan guru di sekolah berkenaan.
"Tragedi seumpama ini tidak boleh dipandang ringan di mana setiap usaha dan tindakan perlu dilakukan secara serius, bersikap terbuka dan telus serta perlu dilakukan secara holistik bagi mengelakkannya daripada berulang," tegas Khair.
Tujuh murid Sekolah Kebangsaan Tohoi, Gua Musang itu dilapor melarikan diri dari asrama sekolah pada 23 Ogos lepas kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas didapati mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran.
Dua daripada mereka ditemui selamat semalam, iaitu Miksudiar Alui, 11, dan Norieen Yaakob, 10, manakala Sasa Sobrie, 8, dan Ika Ayel, 9, disahkan meninggal dunia.
Tiga yang masih belum ditemui ialah Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; dan Haikal Yaakob, 8.
Topic Berkaitan
#Gua Musang
#khair mohamad yusof
#Orang Asli
#SK Tohoi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan