Tidak sempat mengambil stok barangan niaga, seorang wanita maut setelah kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di hadapan Sekolah Kebangsaan Jerlun.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi tadi, mangsa Nurizawati Suri, 39 tahun, memandu kereta Proton Wira Aeroback dan ditemani rakannya, Abdul Rahman Zakaria, 42, sedang dalam perjalanan untuk pergi mengambil stok barangan niaga di Alor Setar.

Mangsa bersama rakannya baru keluar dari rumahnya di Kampung Pida 6 Ayer Hitam. Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian lori terbabit yang datang dari arah Alor Setar memasuki laluan bertentangan lalu merempuh kereta mangsa.

Akibat rempuhan kuat itu, mangsa bersama rakannya tersepit dibahagian tempat duduk bahagian pemandu dan penumpang hadapan.

Pihak Bomba dan Penyelamat mengambil masa lebih 10 minit untuk memotong bahagian hadapan kereta Proton Wira Aeroback itu untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa.

Nurizawati disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Abdul Rahman mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat. Abdul Rahman turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Mohd Ismail Ibrahim, pemandu lori berusia 24 tahun itu bersama kelindannya yang berusia 28 tahun, hanya mengalami cedera ringan.

Kedua-dua mereka menetap di Padang Rengas, Perak dan dalam perjalanan untuk menghantar barang ke Perlis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.