"Kami tidak pernah dengar Islamophobia di sini kerana kami sentiasa menerima bantuan jika ada yang mempersendakan pemakaian dan agama."

Umat Islam khususnya di New Zealand turut diberi kebebasan untuk beragama dan komunitinya hidup dalam kedamaian, kata Imam Masjid Khadija, Shazly Khan.

"Malah, di universiti, polis sendiri datang memperkenalkan langkah keselamatan kalau ada yang tidak suka antara kami yang bertudung atau orang tak suka orang Islam.

"Mereka beri kita kebebasan asalkan kita tidak mendedahkan kepercayaan kita kepada sesiapa. Komuniti memang hidup aman damai," katanya semasa dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.

Menceritakan kejadian tembakan itu, Shazly Khan menyifatkannya sebagai insiden tragik kerana beliau sendiri pernah duduk di sudut sama di mana mangsa ditembak pengganas.

"Dua minggu lepas memang saya ada pergi ke Masjid Al Noor dan apabila ada majlis keagamaan sebegini memang kita mengambil peluang untuk pergi bersama.

"Kebetulan memang saya duduk di sudut orang ramai ditembak itu dan kawan saya kenal rapat, Rahimi memang kita selalu berbincang di situ.

"Jadi sangat sensitif dan sangat tragik apabila memikirkan saya pernah duduk di situ minggu lepas. Jadi ia sangat sedih," ujarnya.

Justeru, beliau dan anggota majlisnya mahu melakukan suatu kebaikan pada masa hadapan dengan cuba mendekatkan Islam dengan masyarakat.

"Kita kena ambil peluang untuk kebaikan akan datang. Oleh kerana kejadian ini, untuk lancarkan semula Diploma Pengajian Islam untuk peringkat permulaan kerana semua ada keinginan nak tahu kenapa ini berlaku.

"Kita akan ambil peluang untuk beri manfaat kepada orang bukan Islam," tambahnya lagi.