MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka akan terus komited mempelbagaikan program dan kempen bagi memperluas penggunaan transaksi digital dalam kalangan peniaga kecil dan sederhana.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata langkah itu selaras dengan usaha kerajaan menuju peralihan kepada pembayaran tanpa tunai dalam masyarakat.

"Ada perkembangan sangat positif yang penggunaan transaksi digital di negeri ini semakin meningkat terutama daripada peniaga di pasar malam dan gerai-gerai.

"Malah pada program Melaka Agro Market (MAM) hari ini, saya lihat rata-rata menggunakannya memandangkan kaedah itu memudahkan urusan peniaga dan pembeli," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengiringi Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam melakukan tinjauan mesra pada program MAM dan Jualan Terus dari Ladang anjuran Biro Ekonomi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Bukit Katil di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Razak berkata program MAM akan diperluas termasuk menyasarkan untuk dianjurkan di 100 mukim di negeri ini dengan pelaksanaan sekurang-kurangnya sekali sepanjang tahun ini dalam usaha mengurangkan bebanan masyarakat berikutan kenaikan harga barangan ketika ini.

"Program MAM ini juga akan diperluas ke setiap Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini...program ini ialah satu daripada inisiatif kerajaan negeri membantu rakyat berdepan kenaikan harga barangan.

"Penganjuran ini juga ialah satu daripada inisiatif dan diuruskan oleh FAMA negeri bersama kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata penganjuran MAM selama dua hari bermula semalam berjaya menarik lebih 40 peniaga pelbagai produk serta lebih 2,000 pengunjung yang tidak melepaskan peluang mendapatkan bekalan telur dan minyak masak pada harga istimewa.

Dalam perkembangan berbeza, Abdul Razak berkata kerajaan negeri sedang giat membanteras babi hutan yang kerap kali merosakkan tanaman penduduk.

"Kita menerima banyak laporan dan kini sedang bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Melaka melakukan operasi menangkap babi hutan dengan memasang sangkar perangkap.

"Malah di beberapa kawasan, kita telah menambah jumlah sangkar perangkap yang kita tengok banyak kehadiran haiwan ini," katanya.

-- BERNAMA