Kementerian Wilayah Persekutuan mengenalpasti sekurang-kurangnya 97 transaksi penjualan tanah oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) antara tahun 2011 sehingga 2018 yang perlu untuk siasatan lanjut.

Menterinya, Khalid Samad berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 64 transaksi kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah dilaporkan oleh Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

Malah, kementeriannya juga telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mendalami setiap transaksi tersebut untuk tindakan susulan.

“43 transaksi tanah diteruskan mengikut perjanjian asal kerana tiada sebarang isu berbangkit dari segi harga jualan, urusan penilaian dan perintah pembangunan. Nilai transaksi jualan juga lebih tinggi iaitu RM1.642 bilion harga jualan berbanding RM1.433 bilion harga nilaian.

BACA:
Transaksi tanah: Ku Nan berang, akui dipanggil SPRM lebih 12 kali


“14 transaksi tanah yang melibatkan keluasan 53.98 ekar telah dibatalkan dengan persetujuan pihak syarikat. 15 transaksi tanah dengan keluasan 145.79 ekar telah dirunding semula dan memperolehi tambahan hasil kepada DBKL sebanyak RM149 juta.

“20 transaksi yang telah sempurna pindah milik tanah dan siap projek tetapi didapati ada keraguan dari segi proses penjualan tanah, harga nilaian tanah dan caj pembangunan diserahkan untuk siasatan lanjut oleh SPRM.

“Lima transaksi tidak mendapat mencapai persetujuan antara pihak-pihak yang mana tiga syarikat yang melibatkan tiga transaksi ingin terus berpegang kepada perjanjian yang telah ditandatangani walaupun diperakui berat sebelah. 1 syarikat telah memfailkan tindakan di mahkamah untuk memaksa DBKL mematuhi perjanjian berat sebelah tersebut,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Cheras (PH), Tan Kok Wai yang mahu perincian bilangan tanah-tanah di Kuala Lumpur yang telah dijual DBKL yang terdapat unsur penyewelengan membabitkan jenayah pecah amanah, salah guna kuasa selain penjualan di bawah nilai harga pasaran semasa.

Jelas Khalid lagi, secara keseluruhan hasil rundingan semula yang telah dibuat oleh pihak jawatkuasa khas ini, pihaknya telah memperolehi RM149 juta daripada transaksi terdahulu yang mana syarikat telah membeli tanah dengan harga rendah sekaligus merugikan kerajaan.

“Rundingan ini juga telah memperolehi akujanji sumbangan korporat sebanyak RM6 juta kepada pihak kerajaan. Selain itu, rundingan ini telah berjaya mendapat serahan balik tanah kepada kerajaan melibatkan keluasan 53.98 ekar dengan pembayaran balik RM18.13 juta,” katanya lagi.