MALAYSIA
Transformasi digital pendidikan, sekolah luar bandar tidak terpinggir - Wong Kah Woh
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan bahawa sekolah luar bandar tidak dipinggirkan dalam pelaksanaan dasar pendigitalan pendidikan negara, kata Timbalan Menteri berkenaan Wong Kah Woh.
Beliau berkata dakwaan sekolah luar bandar dipinggirkan adalah tidak tepat, malah dalam projek rintis kelas hibrid melibatkan 110 institusi pendidikan, 41 daripadanya ialah sekolah di kawasan luar bandar yang mencerminkan usaha KPM untuk melaksanakan pendekatan adil dan menyeluruh.
"Ini terbukti bahawa dalam apa-apa inisiatif atau projek, KPM akan memastikan tiada sekolah yang tercicir atau terpinggir dalam transformasi digital pendidikan.
"Tahun ini juga KPM akan melaksanakan projek rintis bagi program kelas berasaskan kecerdasan buatan (AI) melibatkan 11 sekolah termasuk satu di Sarawak, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Lanang," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.Wong menjawab soalan tambahan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) berhubung jaminan kementerian itu untuk memastikan sekolah di kawasan luar bandar tidak terpinggir dengan program pendigitalan pendidikan.
Dalam perkembangan sama, Wong turut memaklumkan setakat Jun 2025, sebanyak 405,158 pegawai perkhidmatan pendidikan (PPP) telah menjalani latihan kompetensi digital sebagai langkah memastikan guru-guru mempunyai pengetahuan dan kemahiran bidang digital.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 23.81 peratus berada pada tahap asas, 74.37 peratus tahap pertengahan, manakala 1.81 peratus mencapai tahap lanjutan.
Sementara itu, Wong memaklumkan bahawa kementerian kini dalam fasa keempat penyediaan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), membabitkan 1,801 sekolah yang masih belum lengkap dari segi kelengkapan ICT.
"Bagi tujuan itu, sebanyak 31,724 unit peranti akan diagihkan melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM230 juta dengan pelaksanaan bermula 2025 hingga 2030 dan kini dalam fasa penilaian perolehan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami