KUALA LUMPUR: Cadangan meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Parlimen telah difikirkan kerajaan dalam memastikan suruhanjaya itu tidak terikat dengan mana-mana pihak.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bukan hanya Ahli Parlimen pembangkang, malah dari pihak kerajaan juga melihat perkara itu.

"Kebebasan SPRM memang kita sudah laksanakan, tapi mesti ada kerangka cadangan lain yang membincangkan (perincian) isu ini.

"(Kerangka itu perlu) kalau hendak beri kebebasan sebenar kepada SPRM seperti yang dicadangkan banyak pihak termasuk ahli Parlimen, supaya ia diletakkan di bawah kawal seliaan Parlimen dan bukan di bawah Kerajaan," katanya.

Mengenai cadangan agar fungsi pendakwa raya dikeluarkan daripada peranan Jabatan Peguam Negara, jelas Wan Junaidi lagi, perkara itu juga sedang difikirkan.

"Mengikut cadangan banyak pihak, bukan sahaja ahli Parlimen pembangkang, malah termasuk ahli Parlimen kerajaan, kini memikirkan perkara itu perlu dilaksanakan," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan pasukan Rasuah Busters iaitu memastikan kebebasan dan ketelusan SPRM dan Jabatan Peguam Negara.

Terdahulu pada Sabtu, enam tuntutan telah dibentangkan pasukan Rasuah Busters bersama lebih 400 Badan Bukan Kerajaan (NGO), sebagai transformasi nilai melalui inisiatif politik #MalaysiaTanpaRasuah.

Antara cadangannya, memperkenal dan mengadakan Pilihan Raya Pecat sebagai alternatif segera kepada Akta Anti Lompat Parti, pelaksanaan dan pemerkasaan Undi18 dan melaksanakan reformasi Parlimen.