MALAYSIA
Translokasi gajah: Daripada ancaman kepada peluang kedua

Suntikan pelali merupakan satu-satunya pilihan beretika bagi memastikan keselamatan penduduk, keselamatan petugas jabatan dan kelangsungan hidup gajah. - Gambar Bernama
KLUANG: Di ladang getah di Kampung Sri Lukut, di sini, kelihatan pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berbisik perlahan sambil memberi isyarat senyap kepada pasukan tatkala empat gajah liar betina termasuk anak gajah berdiri tegak, matanya liar, belalainya mencecah tanah.
Di sebalik kesunyian itu, tembakan pelali dilepaskan, kelihatan wajah tegang pasukan mula reda apabila haiwan seberat lebih tiga tan berkenaan perlahan-lahan tidak lagi melawan dan takut dalam tempoh 15 minit kemudian.
Beginilah bermulanya proses rumit operasi translokasi lapan ekor gajah liar yang dijalankan di sekitar Kluang minggu ini oleh Perhilitan susulan pelancaran Operasi Bersepadu Tangkapan dan Translokasi Gajah yang bermula pada 14 Julai lepas.
Dalam jarak kira-kira 100 meter daripada gajah liar berkenaan, Abot dan Sanum iaitu dua gajah denak yang dibawa khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang ditemani mahut masing-masing Ros Suhailyu Mohamed Remly dan Fadhullah Kamarudin, digunakan dalam sesi pertama pemindahan gajah liar bagi tahun ini."Gajah denak sangat penting dan biasanya bekerja secara berpasangan. Ia bukan sekadar untuk memimpin, tetapi memberi rasa tenang kepada gajah liar. Ia menyokong secara psikologi supaya haiwan ini tidak panik atau melawan," kata Pengarah Perhilitan Johor, Aminuddin Jamin ketika ditemui Bernama di lokasi operasi.
Terlebih dahulu, sebahagian gajah dalam kumpulan liar ini dikesan menggunakan teknologi kolar satelit, berharga lebih RM30,000 yang dipasang pada beberapa ekor gajah terpilih, selain pemantauan dron yang membantu mengenal pasti lokasi dan corak pergerakan kumpulan.
Menerusi operasi yang dijalankan, sembilan ekor gajah berjaya ditangkap, dengan empat daripadanya dipindahkan kelmarin, manakala dua ekor lagi dipindahkan pada setiap sesi berikutnya dan satu lagi sudah dihantar ke Pusat Santuari Gajah Johor (JES).
Dalam operasi membabitkan lebih 30 anggota Perhilitan Johor termasuk dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan dan JES ini, aspek perubatan veterinar menjadi teras utama bagi memastikan kelancaran dan keselamatan proses pemindahan haiwan liar seberat dua hingga empat tan itu.
Tatkala orang lain melihat gajah sebagai ancaman, Pegawai Veterinar Perhilitan Johor, Dr Suliza Abd Wahab yang dibantu Pembantu Hidupan Liar, Mahathir Othman melihat haiwan ini sebagai 'pesakit' kerana bukan sekadar ditangkap dan dipindahkan, namun setiap langkah melibatkan kiraan dos yang tepat, pemantauan ketat dan keputusan perubatan kritikal.
Dengan picagari di tangan dan langkah penuh yakin, mereka menjadi figura tenang di tengah-tengah kekalutan, memastikan setiap gajah liar dipindahkan bukan menggunakan kekerasan, tetapi dengan belas kasihan dan ketepatan perubatan.
Ubat pelali digunakan bagi memastikan gajah tidak agresif dan kekal dalam keadaan separuh sedar sepanjang proses pemindahan, manakala dos ubat pelali berbeza mengikut fasa dan tujuan.
"Untuk operasi tangkapan, suntikan ubat pelali boleh mencecah 20cc atau lebih, bergantung kepada saiz dan berat gajah. Sementara bagi pemindahan atau pelepasan, dos lebih rendah digunakan secara berperingkat.
"Waktu pelepasan kami kena bagi dos yang lebih tinggi sebab tiada gajah denak untuk memujuk. Tanpa kawalan pelali yang betul, gajah boleh bertindak agresif," kata beliau.
Kos operasi menangkap dan memindahkan gajah boleh mencecah hingga RM50,000 bagi setiap operasi, termasuk kos pengangkutan, makanan, pembukaan jalan, logistik dan jentera berat.
Ini termasuk juga kos keseluruhan ubat-ubatan dalam operasi dianggarkan antara RM350 hingga RM6,000 bagi setiap ekor gajah, termasuk pelali, ubat antidot dan ubatan lain bagi rawatan selepas ditarik.
Sebahagian gajah dalam kumpulan liar ini dikesan terlebih dahulu menggunakan teknologi kolar satelit yang dipasang pada beberapa ekor gajah terpilih, selain pemantauan dron yang membantu mengenal pasti lokasi dan corak pergerakan kumpulan.
Kolar satelit ini mempunyai jangka hayat hingga tiga tahun dan berharga kira-kira RM50,000 seunit.
Berpeluang melihat sendiri operasi translokasi ini, penggunaan gajah denak adalah untuk menenangkan gajah liar yang ditangkap dan membantu kerja-kerja merantai bagi tujuan penarikan gajah ke dalam lori.
Sebaik sahaja disuntik dengan ubat pelali, gajah liar ini kemudian akan 'diapit' oleh Abot dan Sanum untuk ditenangkan dan kerja-kerja pemasangan rantai akan dilakukan oleh petugas jabatan sebelum ditarik keluar dari lokasi oleh gajah denak ke dalam lori Jabatan Perhilitan untuk dipindahkan ke habitat yang sesuai.
Walaupun ada pihak yang mendakwa bahawa operasi ini kejam, Ketua JES Azrul Abd Manan yang mengetuai operasi itu menjelaskan, ia satu-satunya pilihan beretika bagi memastikan keselamatan penduduk, keselamatan petugas jabatan dan kelangsungan hidup gajah.
"Kami berhadapan dengan haiwan liar, bukan haiwan peliharaan. Gajah yang tersesat ke kampung bukan hanya menakutkan penduduk, malah memusnahkan tanaman yang diusahakan oleh penduduk kampung. Jadi, pemindahan ke habitat yang lebih sesuai adalah pilihan terbaik," katanya.
Operasi ini bukan sekadar menangkap dan memindahkan gajah, tetapi membantu menyelamatkan hidupan liar ini supaya mereka dapat memulakan hidup baharu di habitat yang lebih selamat, jauh daripada gangguan manusia dan konflik yang tidak diingini.
Di mata manusia, ia mungkin cuma gajah liar yang mengganggu tanaman, namun bagi Perhilitan haiwan yang boleh mencecah berat hingga 3,000 kilogram ini memasuki ke kampung kerana fragmentasi habitat asalnya yang semakin terhimpit oleh kepesatan pembangunan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami