MELAKA TENGAH: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka menjangkakan angka kes positif COVID-19 melibatkan institusi pendidikan di negeri itu akan meningkat mendadak, terutamanya melibatkan sekolah berasrama.

Pengarahnya, Dr Rusdi Abd Rahman berkata ia berdasarkan trend peningkatan dalam tempoh tujuh hari kebelakangan ini, menerusi empat kluster membabitkan dua kolej vokasional (KV), sebuah sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang masih aktif.

“Setakat ini empat kluster pendidikan masih aktif iaitu Kluster Jalan Kemendor Jasin melibatkan Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin yang membabitkan 39 pelajar dan Kluster Jalan Tun Telani yang membabitkan 135 pelajar di KV Melaka Tengah.

“Manakala Kluster Jalan Hang Tuah Jaya 2 membabitkan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), setakat ini 58 kes dikesan dan juga satu kluster baharu iaitu Kluster Jalan Pengkalan Batu yang membabitkan 29 pelajar di SMKA Sultan Muhammad,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan Ops Tahun Baharu Cina (OPS TBC) 2022 di sebuah pasar raya di Malim, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut katanya, daripada 261 kes positif COVID-19 melibatkan pelajar menerusi empat kluster pendidikan ini, hanya satu kes varian Omicron dikesan di salah sebuah KV yang terlibat.

Jelasnya, selain empat intitusi pendidikan yang mencetuskan kluster, terdapat juga beberapa sekolah yang merekodkan kes jangkitan COVID-19 yang masih aktif, namun belum diisytiharkan sebagai kluster.

“Bagi saya situasi ini semakin membimbangkan dan saya tidak hairan kalau misalnya sekolah lain terutamanya asrama pula mencetuskan kluster baharu sekiranya kita tidak berhati-hati.

“Memang ada peningkatan yang jelas dan kita mohon kerjasama semua pihak termasuk guru dan pelajar serta masyarakat umum suapaya kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan jangan kita lalai,” tambahnya.

Sebelum ini, Exco Pendidikan Negeri, Datuk Rais Yasin berkata, selain empat institusi pendidikan yang telah diisytiharkan sebagai kluster, beberapa sekolah di negeri ini turut terkesan dengan jangkitan COVID-19.

Antaranya termasuk, Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Sekolah Menengah Arab (SMA) Assaiyidah Khadijah, SMA Darul Falah dan SMKA Sharifah Rodziah.