SHAH ALAM: Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis Digital Malaysia (LEAD Malaysia) mendakwa, trend belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memilih sektor p-hailing sebagai sumber pendapatan utama tanpa perancangan kerjaya jangka panjang semakin meningkat dan membimbangkan.
Pertubuhan itu menegaskan, kecenderungan berkenaan jika tidak ditangani secara strategik berisiko menjejaskan pembangunan modal insan negara, selain mendorong berlakunya pembaziran bakat dalam kalangan tenaga muda.
Advertisement
"Pekerjaan dalam sektor ekonomi gig seperti p-hailing tidak seharusnya dianggap sebagai pilihan kerjaya kekal, sebaliknya hanya mekanisme peralihan sementara bagi mereka yang sedang mencari pekerjaan formal setara dengan kemahiran dimiliki," menurut kenyataan LEAD Malaysia sempena Hari Pekerja pada Khamis.
Menurutnya lagi, situasi itu turut dipengaruhi peningkatan pemberhentian pekerja apabila seramai 24,100 individu dilaporkan hilang pekerjaan bagi suku pertama tahun ini berdasarkan data Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
"Susulan itu, ramai yang beralih kepada sektor ekonomi gig sebagai alternatif dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran buruh semasa," jelasnya.
Sehubungan itu, LEAD Malaysia mencadangkan supaya program pendidikan dan latihan kemahiran diperkukuh melalui laluan upskilling dan reskilling yang lebih mudah diakses, selain menyediakan insentif penyertaan khusus kepada golongan belia.
"Dari aspek perlindungan sosial, pertubuhan itu turut menggesa Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) oleh Perkeso diperkasa memandangkan tempoh perlindungan sedia ada hanya selama enam bulan.
"LEAD Malaysia turut menekankan keperluan kerjasama rentas agensi bagi memastikan pekerja terjejas dapat diserap semula ke dalam ekosistem pekerjaan dengan lebih pantas," menurut pertubuhan itu.
Pada masa sama, pertubuhan itu turut membangkitkan isu kelemahan komunikasi berkaitan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang dilaporkan meningkat daripada RM40 kepada RM240 tanpa penjelasan jelas sebelum ini sehingga menjejaskan keyakinan pencarum.
Sehubungan itu, LEAD Malaysia menggesa pelaksanaan Akta Gig 2025 disertakan strategi komunikasi yang telus dan memastikan Majlis Perundingan Gig (MPG) berfungsi secara inklusif dengan melibatkan wakil sebenar pekerja gig dari lapangan.
Dalam kenyataan sama, LEAD Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmen memperjuangkan kebajikan serta memperluas pengiktirafan sektor ekonomi gig dalam landskap negara. -Sinar Harian