Skip to main content

Malaysia

Trend waris lepas tangan jejas operasi pusat jagaan warga emas

51729252662_wargaemas.jpg
Trend lepas tangan dalam kalangan waris kini berada pada tahap membimbangkan sehingga menjejaskan pengoperasian pusat jagaan warga emas. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Kecenderungan segelintir waris melepaskan tanggungjawab menjaga ibu bapa di pusat jagaan tanpa sokongan kewangan berterusan kini dilihat seolah-olah menjadikan institusi kebajikan sebagai 'pusat buangan' warga emas.

Penguasa Hal Ehwal Am Persatuan Kebajikan Rumah Victory Malaysia Loo Choon Teong mendedahkan trend lepas tangan dalam kalangan waris kini berada pada tahap membimbangkan sehingga menjejaskan pengoperasian pusat jagaan.

Advertisement

Beliau berkata kos pengurusan bagi setiap penghuni di pusatnya boleh mencecah RM1,000 sebulan, namun daripada 81 penghuni, hanya 40 waris yang memberikan sumbangan sekitar RM200 hingga RM300 sebulan.

“Bagi menampung lompang kewangan, kami terpaksa bergantung kepada bantuan persatuan luar serta inisiatif pengumpulan dana sendiri seperti mengadakan bazar dan jualan kuih raya menjelang musim perayaan,” katanya kepada Bernama.

Loo turut berkongsi kisah menyayat hati mengenai seorang warga emas yang menghubungi sendiri pusat jagaan itu untuk mendapatkan penempatan selepas diarahkan keluar oleh anaknya yang memberi alasan sudah terlalu lama menjaga bapanya.

Sehubungan itu, beliau berkata undang-undang mewajibkan anak-anak menyara ibu bapa yang uzur wajar diperkenalkan sebagai langkah meningkatkan kesedaran masyarakat dalam memelihara kebajikan golongan berkenaan.

“Bagi anak-anak yang masih mempunyai ibu bapa, janganlah sesekali mengusir ibu bapa meskipun mereka pernah menyakiti kita,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Profesional Penjagaan Sosial dan Rumah Penjagaan Malaysia (MASOC CARE) Dr Melody Ang Xing Yuen berkata situasi pengabaian tersebut sering berpunca daripada ketiadaan persediaan mental dan kemahiran keluarga dalam menguruskan penjagaan jangka panjang.

Beliau berkata apabila ibu bapa tiba-tiba mengalami krisis kesihatan seperti strok atau demensia, keluarga cenderung panik kerana tidak mempunyai latihan formal selain terhimpit dengan tekanan ekonomi isi rumah berpendapatan dua.

“Ramai anak dewasa sekarang perlu mengimbangi kerjaya, penjagaan anak sendiri dan pada masa sama menjaga ibu bapa yang uzur. Tanpa sokongan yang baik, mereka akhirnya membuat keputusan yang tidak ideal untuk semua pihak,” katanya.

Melody berkata MASOC CARE turut menerima maklum balas daripada banyak keluarga yang menghadapi kesukaran mendapatkan penjaga profesional yang dipercayai ekoran perkhidmatan tersebut yang masih terhad di negara ini.

Katanya terdapat keluarga yang pada awalnya cuba menjaga ibu bapa sendiri, namun akhirnya berasa terbeban sehingga terpaksa menggaji pembantu rumah asing tanpa latihan khusus, malah ada juga yang menempatkan ibu bapa di pusat jagaan yang bergantung kepada kakitangan tidak profesional.

Senada dengan itu, Pengasas Pusat Jagaan Orang Tua Cahaya Maju Dr R. Saravanan mendedahkan kira-kira 90 peratus daripada 32 penghuni di pusat kendaliannya kini tidak lagi menerima sokongan kewangan daripada waris.

Katanya trend itu memaksa pengusaha bergelut dengan kos operasi antara RM400 hingga RM500 bagi setiap warga emas merangkumi perbelanjaan rawatan, sewa premis, utiliti, gaji pekerja serta keperluan harian seperti lampin pakai buang dan makanan.

“Malah, terdapat tindakan tidak bertanggungjawab segelintir waris yang dikesan menerima bantuan kewangan bagi pihak warga emas terbabit, namun tidak menyalurkannya kepada pusat jagaan,” katanya sambil menambah alasan kekangan ekonomi dan kesibukan bekerja sering digunakan sebagai punca.

Susulan itu, Saravanan juga menyatakan agar undang-undang bagi mewajibkan anak-anak menyara ibu bapa yang uzur digubal demi meningkatkan kesedaran masyarakat dalam memelihara kebajikan golongan itu.

Pada Nov lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika itu Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang menyemak Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 untuk memperincikan peruntukan nafkah ibu bapa agar lebih responsif dengan realiti semasa.

-- BERNAMA 

Must Watch Video