DUNIA
Trump, Musk bertikam lidah di media sosial

Musk, menerusi platform X, memberi amaran bahawa dasar Trump boleh membawa kepada kemelesetan ekonomi. - Foto X/Elon Musk
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan jutawan teknologi, Elon Musk, saling mengkritik di media sosial pada Khamis susulan perbezaan pandangan mengenai Rang Undang-Undang Pemotongan Perbelanjaan bernilai AS$1.6 trilion dan kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi akibat tarif.
Trump dalam hantaran di platform Truth Social mempertahankan rang undang-undangnya sebagai antara yang terbaik pernah dibentangkan di Kongres dan menolak kritikan Musk.
"Saya tidak kisah jika Elon berpaling menentang saya, tetapi dia sepatutnya melakukannya beberapa bulan lalu. Ini adalah salah satu Rang Undang-Undang Terhebat yang pernah dibentangkan kepada Kongres.
"Ia merupakan pemotongan perbelanjaan rekod, AS$1.6 trilion dolar, dan pemotongan cukai terbesar yang pernah diberikan. Jika rang undang-undang ini tidak diluluskan, akan ada kenaikan cukai sebanyak 68 peratus, dan perkara jauh lebih buruk daripada itu."Saya tidak mewujudkan kekacauan, saya hanya di sini untuk memperbaikinya. Ini meletakkan negara kita di jalan hebat. Jadikan AS hebat semula," tulis Trump.
Dakwa Trump dalam hantaran sama, beliau tidak kisah Musk berpaling tadah, tetapi sepatutnya kritikan itu dibuat beberapa bulan lalu.
Musk pula, menerusi platform X, memberi amaran bahawa dasar Trump boleh membawa kepada kemelesetan ekonomi.
Beliau turut mengumumkan bahawa syarikatnya, SpaceX, akan menamatkan penggunaan kapal angkasa Dragon susulan kenyataan Trump mengenai pembatalan kontrak kerajaan.
Pertelingkahan tersebut memberi kesan besar kepada pasaran saham apabila saham Tesla merosot sebanyak 14.3 peratus, menghapuskan kira-kira AS$150 bilion nilai pasaran.
Ketegangan ini tercetus selepas Musk melancarkan kempen terbuka menentang Rang Undang-Undang Cukai dan Perbelanjaan Trump awal minggu ini, yang menurutnya akan membebankan hutang negara.
Musk sebelum ini menyumbang lebih AS$250 juta kepada kempen pilihan raya Trump dan pernah menjadi antara penasihat rapat presiden itu.
Ketika mengumumkan pengundurannya dari Washington, Musk merujuk kepada peraturan yang mengehadkan tempoh khidmat kontraktor luar kerajaan kepada 130 hari setahun.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami